Tarik masyarakat kenali produk Baitulmal

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

BUKIT PALAH 18 Disember – Produk Baitulmal dilihat perlu dijenamakan semula bagi menarik minat orang ramai untuk mengetahui dan memahami kepelbagaian produk yang dimiliki.

Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Md Rawi Mahmud berkata, apabila anggota masyarakat mempunyai pengetahuan tentang produk ditawarkan ia dapat menarik minat mereka untuk menyertai produk terbabit.

“Ini kerana ada kemungkinan sesetengah anggota masyarakat menganggap produk-produk yang ditawarkan oleh Baitulmal tidak setaraf dengan apa yang ditawarkan oleh bank-bank komersial serta syarikat amanah swasta.

“Baitulmal juga seharusnya mewujudkan pelan komprehensif dalam merangka strategi penjanaan sumber Baitulmal negeri melalui pendekatan Strategi Lautan Biru bersama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), institusi kewangan dan korporat lain.

“Ia bagi memastikan dana Baitulmal terus berkembang dan mampu menjadi pemangkin pembangunan sosio ekonomi ummah,” katanya.

photo_2022-12-18_18-15-39
Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Wira Md Rawi Mahmud (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan serta hadiah kepada penerima pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Baitulmal MAIM 2022 di Dataran Pusat Islam Melaka, Bukit Palah. Foto: MR. AZLI

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Baitulmal MAIM 2022 , yang berlangsung di Dataran Pusat Islam Melaka, hari ini.

Hadir sama, Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM); Datuk Che Sukri Che Mat dan Setiausaha MAIM, Muhammad Ikram Ibrahim.

Md Rawi berkata, selain sumber sedia ada, penerokaan terhadap sumber baharu Baitulmal juga dilihat perlu dipergiatkan kerana hasil kutipan zakat telah dikhususkan penerimanya hanya kepada lapan golongan asnaf sahaja.

“Manakala, bagi hasil wakaf pula ada kalanya telah dikhususkan oleh pewakaf untuk manfaat khas dan aset pokoknya tidak boleh diurus niaga sesuka hati,” katanya.

Ujarnya, pihak pentadbiran Baitulmal mestilah juga diterajui oleh golongan profesional yang mampu membangun serta menggerakkan jentera Baitulmal secara lebih berkesan dan menyeluruh.

“Justeru insititusi Baitulmal ini perlu kembali bersinar sebagai institusi utama dalam sistem ekonomi dan pengurusan harta umat Islam khususnya di Melaka.

“Baitulmal bukan sahaja perlu kekal relevan malah perlu ditajdid dan diperkasakan pada peringkat struktur operasi, tadbir urus, sumber manusia, sumber dana, produk dan juga perundangan sesuai dengan tema Karnival Baitulmal MAIM 2022 iaitu ‘Baitulmal Diperkasa, Ummah Sejahtera’,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2097
Kongsi :
Previous post Temukan mayat ibu dan anak berpelukan, pengalaman sukar dilupakan anggota bomba
Next post Tanah runtuh: Tiada penemuan baharu hari ketiga operasi SAR
Ubah saiz-+=