Sorting by

×

TAPS, SUNGAI JERNIH PERLU DISIAPKAN SEGERA

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER LIMAU 16 November – Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Sungai Jernih yang mengalami kelewatan perlu disiapkan pada Mei tahun hadapan.

Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, projek dengan nilai keseluruhan RM234 juta itu dianggap sebagai amat kritikal.

“Saya kurang berpuas hati dengan perkembangan projek ini, berikutan itu kita turun sendiri ke tapak bagi berbincang dengan kontraktor dan minta mereka bentangkan ‘recovery plan’ bagaimana mahu siapkan TAPS.

“Berdasarkan taklimat disampaikan kontraktor mereka menyatakan komitmen untuk siapkan projek pada Mei, kita juga sudah meminta aku janji daripada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ke tapak TAPS, Sungai Jernih, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Mengulas lanjut Fadillah berkata, apabila siap kelak projek itu akan memberi faedah daripada aspek pengurusan banjir dan bekalan air bersih kepada penduduk Negeri Melaka.

“Kemudahan berkeluasan 3.3 kilometer persegi ini mampu menampung peningkatan jumlah penduduk sehingga tahun 2030 dan jika berlaku kemarau ia boleh bertahan selama 90 hari.

“Selepas beroperasi nanti Negeri Melaka tidak lagi perlu terlalu bergantung kepada sumber air daripada Johor. Kemudahan ini kritikal untuk disiapkan kerana kita akan melaksanakan projek lain yang memerlukan sumber air dari TAPS ini, ” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

128
Kongsi :
Previous post 5 PROJEK JPS BERNILAI RM28.6 JUTA DISERAH KEPADA KERAJAAN MELAKA
Next post KANAK-KANAK 8 TAHUN DIKHUATIRI LEMAS TERJATUH KE DALAM LONGKANG BESAR
Ubah saiz-+=