Sorting by

×

TAPS diharap atasi isu bekalan air

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

AYER LIMAU 22 Disember – Pembinaan Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Jernih diharapkan mampu menyelesaikan masalah penduduk yang berdepan isu bekalan air saban tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Jernih, Jaafar Atan,60 berkata, projek itu mampu membawa lembaran baharu buat penduduk di Masjid Tanah dan Daerah Alor Gajah bagi persediaan mendepani kemajuan pembangunan kawasan itu pada masa akan datang.

Jelasnya, meskipun terdapat bantahan sejak pembinaannya dicadang pada 2004 perkara itu perlu dilaksanakan bagi mengatasi dilema masyarakat yang sering berdepan catuan dan putusnya bekalan air setiap minggu.

“Kalau dulu setiap dua hari mesti tiada air malah situasi ini lebih serius kepada mereka yang tinggal di kawasan yang tinggi kerana tidak menerima air akibat tekanan rendah.

“Kita ucapkan ribuan terima kasih kepada penduduk kerana mereka sanggup melepaskan tanah pusaka nenek moyang untuk membangunkan kawasan ini demi masa depan rakyat.

“Biarpun ada bantahan tahun demi tahun tapi inilah pengorbanan mereka dan hasil usaha Kerajaan Pusat dan Negeri yang tidak putus mengadakan rundingan yang lebih baik demi masa depan anak-anak,” katanya.

Photo 2023 12 21 18 13 55
Pengerusi JPKK Kampung Ramuan China Besar, Suhaimi Jantan, 64. Foto: MR. AZLI

Sementara itu, Pengerusi JPKK Ramuan China Besar, Suhaimi Jantan, 65 menyifatkan projek itu mampu membawa perubahan baharu dalam memastikan rakyat di kawasan Masjid Tanah menerima limpahan daripada pembangunan yang mampan di negeri ini.

Ujarnya, TAPS sekali gus mampu mengatasi dilema penduduk khususnya di sekitar Lubuk China yang sering berdepan masalah itu setiap tahun.

“Terima kasih kepada kerajaan yang berusaha membantu mengatasi masalah penduduk sebab sebelum ini kami sering menghadapi isu catuan air.

“Kadangkala setiap tahun bila masa Hari Raya Aidilfitri gangguan itu berlaku sejak dua hari sebelum raya sehingga memasuki Hari Raya Kedua.

“Alhamdulillah ini merupakan satu khabar gembira buat penduduk meskipun ada yang terpaksa akur melepaskan tanah pusaka mereka demi pembangunan masa hadapan,” katanya.

Pada masa sama, seorang penduduk, Ahmad Razak Said, 68 berkata, masyarakat tidak boleh lari daripada pembangunan yang berlaku demi masa depan dan keselesaan kehidupan.

Katanya, dengan projek itu diharapkan mampu mengatasi isu bekalan air yang berlaku.

“Projek ini berlarutan sebab ada yang bantah tidak sanggup melihat tanah pusaka mereka ditenggelamkan.

“Tapi atas perundingan yang bagus bersama kerajaan dan penduduk perkara ini diselesaikan dan kita sebagai penduduk menerima dengan hati terbuka demi memastikan isu bekalan air ini diatasi,” katanya.

Photo 2023 12 21 18 15 18
Pengerusi Masjid ibn Sina Kanpung Sungai Jernih, Ahmad Razak Said, 68. Foto: MR. AZLI

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

764
Kongsi :
Previous post Dua maut, lima cedera nahas babit tiga kereta
Next post Tinggal anak dalam kereta hingga meninggal dunia, ibu didakwa
Ubah saiz-+=