Sorting by

×

Tapak sukan udara KKB ditutup tiga minggu – MSAF

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LUMPUR, 24 April – Tapak Sukan Luncur Udara Kuala Kubu Bharu ditutup selama tiga minggu bagi penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) berikutan insiden seorang peluncur udara maut selepas payung terjun yang dikendalikannya hilang kawalan dan merempuh sebatang pokok semalam.

Presiden Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF) Mohd Nurhaqimy Mohd Ismail berkata siasatan awal oleh pasukan siasatan khas MSAF mendapati ketika kejadian, cuaca adalah baik dan peralatan sukan luncur udara yang digunakan juga diselenggara serta berada dalam keadaan memuaskan.

“Bagaimanapun, pasukan siasatan khas MSAF mendapati terdapat ruang penambahbaikan terutama daripada sudut SOP di tapak sukan dan tindak cepat dalam usaha menyelamat pemain luncur udara.

“Sehubungan itu, pihak MSAF telah mengambil keputusan mengarahkan penutupan Tapak Sukan Udara Kuala Kubu Bharu untuk jangka masa tiga minggu bagi memberi ruang kepada pemurnian semula SOP agar kejadian seperti ini tidak berulang,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Muhammad Farhad Khalid, 44, maut selepas mengalami kecederaan ketika melakukan aktiviti luncur udara di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu dekat sini.

Mohd Nurhaqimy juga berkata Muhammad Farhad merupakan pemegang lesen Juruterbang Lanjutan (PL2) berdaftar dan diperakui oleh MSAF serta mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya 200 penerbangan sejak mula aktif pada 2020.

Beliau berkata pihak MSAF amat berdukacita dengan kemalangan maut itu dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

“Pihak MSAF turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada penduduk sekitar, pemain sukan luncur udara, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta semua pihak yang membantu dalam usaha menyelamatkan mangsa,” katanya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor mengambil masa selama dua jam untuk menurunkan mangsa dari Subang Jaya itu yang tersangkut di atas pokok pada ketinggian 12.19 meter.

Beberapa Orang Asli yang berada di lokasi kejadian terlebih dahulu memanjat pokok tersebut dan mengikat mangsa menggunakan tali payung terjun bagi mengelakkan lelaki itu terjatuh.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1153
Kongsi :
Previous post 2,000 ekor babi berhampiran ladang dijangkiti ASF ‘hilang’
Next post PRU-15: UMNO Melaka jalani proses pemilihan sebelum Oktober
Ubah saiz-+=