
TAPAK RV BAHARU DI BANDA HILIR
RIM 25 April – Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sedang dalam perancangan untuk membuka sebuah tapak kenderaan rekreasi (RV) yang baharu di Banda Hilir.
Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh berkata, pihaknya kini sedang memperincikan kertas kerja dan jika semuanya berjalan lancar kerja menyiapkan tapak serta kemudahan berkaitan akan dimulakan pada Julai sebelum dibuka pada Ogos.
Mengulas lanjut Ahmad Azlan berkata, kemudahan untuk peminat RV itu dicadang untuk dibangunkan di tapak berhadapan Muzium Samudera.
“Lokasi berkenaan adalah tanah milik CMI, mengikut perancangan kemudahan itu nanti boleh menampung sekitar lima ke enam buah RV dan dilengkapi dengan kemudahan bagi memberikan keselesaan kepada pengguna.
“Insya-Allah apabila dibuka kelak, kemudahan ini akan menggamit kedatangan lebih ramai peminat RV untuk merasai pengalaman bercuti dalam suasana bandar,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Camper Rally Raya di Taman Extreme Tasik Chinchin, di sini, baru-baru ini.
Ahmad Azlan berkata, lebih menarik majlis perasmian kemudahan itu dijangka diadakan pada September nanti bersempena dengan penganjuran Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.