Tapak ‘premium’ untuk peniaga – Rais
PAYA RUMPUT 21 Januari – “Saya ingin memohon kepada semua pihak beri masa, ruang dan peluang kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan yang terbaik buat rakyat negeri ini,” kata Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berhubung pemindahan peniaga Uptown Pahlawan Walk ke lokasi baharu.
Menurut beliau, keputusan Kerajaan Negeri sebelum ini yang ingin memindahkan kira-kira 120 peniaga itu berdepan sedikit masalah apabila tidak dipersetujui namun selepas dua minggu peniaga ini dipindahkan ia menunjukkan reaksi positif.
Jelasnya, selepas dua minggu dipindahkan ke lokasi baharu berhadapan Menara Taming Sari, jumlah pengunjung yang datang semakin bertambah malah ada persatuan peniaga yang melahirkan rasa gembira dengan perkembangan itu.
“Tidak dinafikan beberapa bulan yang lalu memang kita mempunyai masalah ingin memindahkan peniaga, malah saya sendiri turut membantu menyelesaikan masalah yang timbul tetapi sekarang saya lihat ramai (pengunjung) turun ke sana.
“Kita sangat berhati-hati tetapi sekarang kita bagi mereka tempat yang lebih ‘premium’ iaitu di hadapan Menara Taming Sari yang menjadi laluan utama pelancong atau pengunjung,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Gelanggang Persilatan Singa Bertujuh, di Tanjung Minyak, hari ini.
Menurut Rais, Kerajaan Negeri Melaka di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, sentiasa mengutamakan rakyat dalam setiap perkara yang ingin dilaksanakan begitu juga dengan Zon Bebas Kenderaan.
“Sesungguhnya kita sentiasa menegaskan yang kita tidak ingin menzalimi mana-mana peniaga atau pihak tetapi apa yang dibuat adalah untuk kebaikan rakyat sendiri.
“Memang benar ada kekurangan mungkin tentang isu tempat letak kereta atau kawasan parkir dan beberapa lagi, kita akan atasi dari semasa ke semasa malah Ketua Menteri sendiri saban minggu turun padang untuk melihat apa yang perlu ditambah baik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.