Sorting by

×

TAPAK PENJAJA PINGGIRAN SUNGAI MITC BAKAL BERWAJAH BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 14 Mac – Tapak penjaja Pinggiran Sungai MITC bakal dinaik taraf bagi memberikan lebih keselesaan dan kemudahan penjaja selepas selesai proses tender dijangka pada Julai atau Ogos depan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron berkata, perancangan menaik taraf itu bertujuan untuk menyediakan kawasan penjaja dengan imej lebih kemas, cantik, bersih, ceria dan sesuai bagi aktiviti perniagaan.

Katanya, bagi kerja naik taraf itu MPHTJ sudah menerima peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan akan memanfaatkan dana yang ada untuk kesejahteraan penjaja selain orang ramai.

“Usaha ini dijangka bakal membawa manfaat besar kepada peniaga kecil dan sederhana, sekali gus meningkatkan daya tarikan kawasan MITC sebagai pusat komersial serta pelancongan di Melaka.

“Sebanyak 55 peniaga kini beroperasi di tapak itu dan mereka bakal ditempatkan di gerai yang lebih cantik serta tersusun,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Kompleks Melaka Mall, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Sapiah berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri dalam memperkasa peniaga kecil dan memastikan kawasan perniagaan lebih teratur.

“Selain menarik minat lebih ramai pengunjung singgah ke kawasan tersebut, kita mahu memastikan para penjaja menikmati persekitaran niaga yang lebih baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post POLIS PENGIRING CEDERA KEMALANGAN KETIKA BERTUGAS
Next post RM400,000 CERIAKAN AIDILFITRI GOLONGAN KURANG BERKEMAMPUAN