Tapak pasar malam Semabok bakal berwajah baharu
DUYONG 2 Disember – Sejumlah RM400,000 diperuntukkan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menjalankan kerja naik taraf tapak pasar malam Semabok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, kerja naik taraf itu dijangka akan mengambil masa kira-kira empat bulan sebelum siap sepenuhya untuk dilaksanakan penganjuran program.
“Hari ini serahan tapak sudah dilakukan dan antara kerja naik taraf akan membabitkan turapan semula tapak niaga termasuk penandaan tapak, pencahayaan lampu hiasan, penyeragaman khemah penjaja serta penggunaan soket elektrik bermakna tiada lagi penggunaan generator.
“Tapak pasar malam Semabok ini adalah program transformasi kedua yang dilakukan selepas pasar malam Duyong.
“Dengan naik taraf yang dijalakan ini ia bukan hanya memberi keselesaan kepada peniaga malah pengunjung yang hadir,” katanya.
Menurutnya, apabila kerja naik taraf selesai dijalankan, penganjur terutamanya perlu memainkan peranan dalam menganjurkan aktiviti jualan bagi memanfaatkan peruntukan yang sudah dibelanjakan oleh KPKT.
“Jangka masa kerja dalam tempoh empat bulan untuk siap, selepas itu penganjur kena adakan aktiviti jualan seperti ‘uptown’, pasar pagi atau medan penjaja dan yang penting mesti ada aktiviti kerana kita perlu manfaatkan belanja besar yang sudah dikeluarkan.
“Kesesakan lalu lintas mungkin akan berlaku itu sudah pasti, jadi itu tandanya ia mendapat sambutan ramai daripada penduduk sekitar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.