Tapak kaki harimau ditemukan, penduduk berjaga-jaga
Seorang penternak Mohd Nordin Hashim, 39, berkata dia menemukan kesan tapak kaki itu ketika berada di Ladang Chin Teck, kira-kira 8.30 malam tadi.
“Dua hari lepas sudah ada penduduk yang melihat kelibat harimau berhampiran kawasan ini. Keadaan ini menimbulkan ketakutan kepada penduduk dan bimbang ternakan mereka seperti lembu dan kambing akan menjadi mangsa haiwan liar itu.
“Kami juga bimbangkan keselamatan penduduk yang adakalanya masuk ke kawasan ladang untuk mencari daun pisang dan melepaskan ternakan mereka,” katanya kepada pemberita di Ladang Chin Teck hari ini.
Zainuri Salleh, 45, berkata dia terkejut apabila menerima maklumat mengenai penemuan kesan tapak kaki harimau menerusi kumpulan WhatsApp perumahannya.
“Saya mengingatkan anak supaya berhati-hati menunggang motosikal ke sekolah pagi ini. Walaupun kesan tapak kaki itu dijumpai di kawasan ladang, kita perlu berjaga-jaga kerana lokasinya sangat dekat dengan rumah penduduk,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata beliau mengetahui mengenai penemuan kesan tapak kaki itu menerusi perkongsian WhatsApp yang tular sejak malam tadi.
“Lokasi penemuan adalah di kawasan Galas dan berhampiran dengan penempatan penduduk, jadi kita berharap tindakan pantas daripada pihak berwajib dapat dilaksanakan sewajarnya,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.