TAPAK BAHARU UNTUK PENIAGA TAMAN BUKIT TAMBUN PERDANA
DURIAN TUNGGAL 9 Oktober – Sebuah tapak perniagaan baharu akan disediakan untuk seramai 15 peniaga di Taman Bukit Tambun Perdana dalam masa terdekat.
Keputusan itu adalah hasil dialog bersama Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Persatuan Penduduk Taman Bukit Tambun Perdana, Scientex Berhad (Pemaju) dan penjaja di kawasan itu, baru-baru ini.
Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Zahari Abd Kalil berkata ia berikutan tapak sedia ada tidak lagi sesuai bagi aktiviti perniagaan atas faktor keselamatan.
“Hasil perbincangan bersama pihak terlibat kita setuju tempatkan para peniaga ini di kawasan dalam Taman Bukit Tambun Perdana, sekarang mereka berniaga di hadapan pintu masuk jadi sangat bahaya.
“Bagaimanapun tapak tersebut perlu dimohon dahulu oleh persatuan penduduk kepada pihak pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) kerana bawah seliaan SUK.
“Kawasan ini sebenarnya tidak selamat untuk aktiviti perniagaan sebab di pintu masuk utama taman, sebab itu kita perlu cari tapak baharu untuk mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal berkata, untuk sementara waktu ini peniaga dibenarkan berniaga di tapak sedia ada sehingga tapak baharu disediakan.
“Kita faham peniaga ingin mencari rezeki, jadi untuk sementara ini mereka boleh berniaga seperti biasa, tapi jika sudah ada tapak baharu mereka perlu pindah segera,” katanya.
Terdahulu Zahari mempengerusikan Majlis Dialog antara MPAG, Persatuan Penduduk Taman Bukit Tambun Perdana, Scientex (pemaju) dan penjaja di kawasan Taman Bukit Tambun Perdana, Jumaat lalu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.