Tanpa pekerja asing, sektor perladangan sawit rugi RM28 bilion
Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata kekurangan penuai yang terdiri daripada pekerja asing telah menyebabkan kerugian berjumlah RM21 bilion pada tahun lepas.
Sehubungan itu beliau mencadangkan agar pemegang taruh mengambil langkah intervensi jangka pendek seperti mempercepatkan ketibaan pekerja asing untuk mengatasi masalah kekurangan pekerja dalam sektor peladangan kelapa sawit.
Katanya sebanyak 32,000 pekerja asing (pekerja lapangan) dari Indonesia perlu dibawa masuk dengan segera kerana penutupan sempadan ketika Pandemik COVID-19 telah menyebabkan kekurangan pekerja bagi melakukan tugas-tugas penuaian buah kelapa sawit.
“Bagi memudahkan proses pengambilan pekerja asing, proses tersebut perlu tuntas dan efisyen kerana pada masa kini, penyelarasan dalam proses itu perlu beralih kepada platform digitalisasi sepenuhnya tanpa sebarang campur tangan manusia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Manakala bagi intervensi jangka panjang, kerajaan dan pemilik-pemilik ladangan diseru supaya berganding bahu dalam meneruskan pembiayaan program Reskilling & Upskilling terutamanya bagi pekerja tempatan.
”Pembangunan dan pemerkasaan modal insan pekerja tempatan pula perlu diberi penekanan penuh kerana mereka (pekerja) yang memegang jawatan di peringkat atasan seperti pekerja-pekerja pejabat dan pengurus ladang yang akan memastikan pengurusan keseluruhan ladang terjaga sepenuhnya.
“Pemberian subsidi untuk program pendidikan yang betul mengenai ladang kelapa sawit juga perlu diberi keutamaan,” katanya.
Abdul Latif turut berkata program-program yang diperkenalkan oleh kerajaan perlu dibentuk dan diperkasakan ke arah pemikiran, persepsi dan pemahaman yang baik terhadap sektor perladangan kelapa sawit.
Program kesedaran dan kesediaan juga perlu difokuskan ke arah inisiatif automasi dan mekanisasi bagi menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk melibatkan diri dalam sektor ini.
Prestasi sektor perladangan kelapa sawit merosot apabila kuantiti eksport berkurang 4.4 peratus pada suku keempat 2021 disebabkan isu kekurangan pekerja asing dan tempatan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.