Sorting by

×

Tanjung Bruas Port akan dinaik taraf jadi pelabuhan eksport

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

JASIN 29 Dis – Kerajaan negeri bercadang untuk menaik taraf Tanjung Bruas Port di Tanjung Kling menjadi sebuah pelabuhan yang berfungsi sebagai lokasi eksport barangan ke luar negara.

Exco Pelaburan dan Perindustrian Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, melalui pembesaran tersebut, ia dapat memudah serta mempercepatkan kilang-kilang di kawasan perindustrian negeri ini untuk mengeksport pelbagai barangan mereka ke luar negara, sekali gus berupaya meningkat hasil pengeluaran mereka.

Menurut beliau, pembesaran pelabuhan itu dijangka akan melibat kos sekitar RM2 bilion.

“Memang ada sebahagian produk perindustrian kita sekarang ini menggunakan kemudahan di Tanjung Bruas, tetapi kita melihat ia masih tidak mencukupi untuk membantu proses eksport.

“Seperti contoh Kilang Xinyi Glass mampu mengeluarkan 400 unit kontena setiap hari dan kalau sebulan sudah 1,200 kontena, jadi ia memerlukan sebuah pelabuhan yang lebih besar dan mempunyai kemudahan lengkap.

“Sebab itulah kita mahu menaik taraf pelabuhan ini supaya dapat meningkatkan jumlah kontena dan pada masa sama membantu semua kawasan perindustrian kita mengeksport produk mereka ke luar negara,” katanya.

GAMBAR Hiasan. Pelabuhan Tanjung Bruas, Melaka.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Kilang Xinyi Glass Holdings Limited, di Lipat Kajang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) Datuk Azmi Hussain dan Pengarah Kewangan Xinyi Glass Holdings Limited dan Xinyi Solar Holdings Limited, Datuk Sin Ket Hin.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, dalam tempoh dua minggu ini pihaknya akan memanggil semua pihak yang terlibat dengan Tanjung Bruas Port bagi tujuan penyelarasan.

Tambahnya, ia termasuklah mengadakan perbincangan dengan pihak Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) memandangkan kawasan pelabuhan ini turut termasuk di dalam kawasan zon ekonomi yang sedang dirangka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2466
Kongsi :
Previous post Beruang matahari mati dipercayai dilanggar kenderaan
Next post Ramalan awal banjir: Pahang, Johor bermula 1 Jan, Kelantan dan Terengganu 31 Dis – PRABN
Ubah saiz-+=