Tangisan syukur terpilih tunai haji di usia emas

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

DURIAN TUNGGAL 9 Mei – Terpilih mengerjakan ibadah haji pada usia senja dianggap peluang keemasan buat pasangan warga emas, Tijah Embok, 75 dan suami, Baharom Alang, 77 yang yang menetap di Kampung Padang Sebang, Alor Gajah.

Menurut Tijah, ketika menerima panggilan daripada wakil Tabung Haji memaklumkan berita gembira itu, dia menangis kerana dapat mengerjakan ibadah haji pada tahun ini.

Jelasnya, dia dan suami sepatutnya pergi dua tahun lalu namun disebabkan wabak COVID-19, hasrat itu terpaksa ditangguhkan.

“Sepatutnya pergi tunai haji dua tahun lalu, tapi ketika itu pandemik COVID-19, satu dunia ‘lockdown’, memang dah rasa tiada rezeki.

“Namun apabila menerima panggilan pemakluman dan disahkan nama tersenarai dapat menunaikan ibadah haji tahun ini, saya rasa bersyukur yang tidak terhingga, dapatlah kerjakan Rukun Islam kelima sebelum menutup mata,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui ketika ditemui pada Majlis Penutup Kursus Perdana Haji Musim Haji 1444 Hijrah di Masjid Sayyidina Abu Bakar, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, baru-baru ini.

Ditanya mengenai persiapan, ibu kepada dua anak itu berkata dia dan suaminya sudah bersedia untuk mengerjakan ibadah haji pada tahun ini.

“Semua proses dokumentasi seperti passport, suntikan vaksin akan dilakukan dengan bantuan anak-anak dan persiapan termasuk kelas ibadah haji telah pun dilaksanakan awal.

“Dengan kudrat yang masih kuat meskipun sudah memasuki usia emas, saya hanya berserah kepada Allah untuk diberikan kesihatan untuk melaksanakan ibadah haji dengan sempurna,” katanya.

Dalam pada itu, Tijah turut menasihatkan orang ramai agar menanam cita-cita untuk menunaikan ibadah haji ketika masih muda dan sihat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1310
Kongsi :
Previous post Rumah Terbuka Aidilfitri Asahan terima sambutan luar jangka
Next post Melaka perkasa usahawan digital
Ubah saiz-+=