Tanggungjawab lebih besar menanti – Datuk Rosli

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

SERI NEGERI 26 Ogos – “Sudah pasti selepas ini tanggungjawab lebih besar dan saya akan laksanakan sebaik mungkin demi rakyat Melaka,” itu kata Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah.

Rosli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi antara 58 penerima yang dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk bersempena Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2024 sempena Sambutan Hari Jadi Ke-75 Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam. di Dewan Istiadat Seri Negeri, hari ini.

Menurut Rosli, beliau akan bersama-sama dengan kepimpinan Kerajaan Negeri dalam memastikan Melaka terus menjadi sebuah negeri yang maju.

Jelasnya, anugerah yang diterima itu adalah sebagai tanda kepercayaan Kerajaan Negeri terhadap dirinya sepanjang berkhidmat untuk rakyat.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada Tun Dr. Mohd Ali dan Ketua Menteri kerana memberi kepercayaan kepada saya dengan menganugerahkan darjah kebesaran ini.

“Apabila diberikan sesuatu, memang satu cabaran dan Insya-Allah, selagi diberi kepercayaan saya akan tunaikan amanah ini dengan sebaiknya.

“Anugerah ini bukan hanya untuk saya sebaliknya untuk mereka yang sentiasa bersama- sama dengan saya terutamanya penduduk Kuala Linggi,” katanya.

Menurut Rosli, dia tidak menyangka akan dikurniakan anugerah itu namun menganggap itu adalah amanah yang perlu ‘dikembali’ kepada rakyat.

“Siapa saya hari ini juga adalah kerana rakyat jadi saya harus berkhidmat dan menjalankan amanah ini dengan sebaiknya,” katanya.

Terdahulu, anugerah itu disampaikan oleh Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam pada sesi terkahir istiadat yang membabitkan seramai 399 penerima.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

205
Kongsi :
Previous post ‘Anugerah suntik semangat warga CMI’
Next post Dadah RM300,000 ditinggal di Pulau Konet
Ubah saiz-+=