Tangguh umrah: Tidak wujud diskriminasi terhadap orang Islam – Menteri
Menjelaskan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata tidak wujud diskriminasi terhadap orang Islam seperti yang didakwa oleh segelintir pihak.
Beliau berkata kerajaan mengambil keputusan itu setelah berbincang dengan agensi berkaitan dan mengambil kira cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai ancaman terbaharu wabak itu.
“Ini adalah masalah orang ramai, masalah negara, tidak timbul soal diskriminasi atau yang lain…(dakwaan seperti itu) tak patut sangatlah.
“Janganlah tohmah, kata kita nak tindas orang Islam. Apa yang dikemukakan oleh pihak KKM adalah data. Kita boleh tengok bagaimana wabak ini dibawa daripada negara-negara, ini semua data, bukan apa yang mereka (KKM) cakap itu dalam bentuk yang tidak ada fakta,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Agama Kuala Paya dekat sini hari ini.
Idris berkata ada cadangan untuk mewajibkan rombongan umrah dikuarantin di hotel atau tempat tertentu berbanding kuarantin rumah sebelum ini.
Beliau berkata bagaimanapun, ia tidak boleh dilaksanakan memandangkan tempat kuarantin yang diperlukan terlalu banyak dan kekurangan logistik.
“Sehari memerlukan sekurang-kurangnya 1,000 katil. Akhirnya keputusan (tangguh umrah) terpaksa diambil oleh pihak berkuasa. Kita tidak mahu merebaknya penyakit ini, yang boleh mendatangkan masalah lebih banyak lagi (pada masa hadapan),” katanya.
Justeru, Idris meminta rakyat bersikap terbuka dengan keputusan kerajaan memandangkan ia dibuat berdasarkan kepentingan orang ramai.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa keputusan kerajaan menangguhkan ibadah umrah berkuat kuasa 8 Jan ini adalah satu diskriminasi terhadap umat Islam. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.