TANGANI 4 ‘HOTSPOT’ BANJIR DI PANTAI KUNDOR
PANTAI KUNDOR 10 Januari – Usaha menangani pemasalahan banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor terus diberi perhatian apabila beberapa pendekatan diambil.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi @Mohd Hashim berkata, di kawasan DUN Pantai Kundor terdapat empat hotspot banjir dikenal pasti dan sering dinaiki air apabila berlaku hujan lebat berterusan.
Katanya, usaha tersebut dipandang serius pihaknya bagi memastikan penduduk tidak lagi diselubungi kebimbangan apabila berlakunya bencana alam itu.
“Di Pantai Kundor ini terdapat empat hotspot banjir iaitu di Paya Luboh, Bukit Berlian, Tanjung Kling dan Paya Rumput, yang mana di setiap kawasan ini terdapat beberapa pemasalahan berkaitan saluran yang perlu diberi perhatian secara menyeluruh.
“Antara langkah pencegahan yang diambil untuk mengatasi bencana banjir ini kita akan pastikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melakukan pembersihan dan melebarkan parit serta anak sungai sebelum tibanya musim tengkujuh atau peralihan monsun.
“Di pihak Japerun khususnya, kita sebolehnya mahukan masalah banjir ini dapat diselesaikan segera kerana apabila berlaku banjir perbelanjaan yang tinggi perlu dikeluarkan bagi memberi keselesaan dan menjaga kebajikan mangsa,” katanya.
Tuminah yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, selain pemasalahan banjir, pihaknya juga memfokuskan pengindahan di kawasan sekitar Pantai Kundor khususnya lokasi tumpuan ramai di Pantai Puteri.
“Di Pantai Kundor ini tiada mercu tanda jadi untuk itu kita merancang untuk mengindahkan dengan pencahayaan dan juga membina pintu gerbang termasuk arca.
“Jadi apabila pengunjung atau mereka yang datang ke sini membuat naik gambar di media sosial, orang akan tahu lokasi itu adalah di Pantai Puteri namun begitu ia akan dilakukan apabila kerja-kerja tambakan laut selesai,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.