Tandas sekolah bertemakan animasi

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

TELOK MAS 5 Julai – Bagaikan berada di dunia ‘fantasi’ itu suasana yang dapat dirasai sejurus melangkah masuk ke tandas Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Temu, di sini, apabila dihiasi dengan pelbagai karakter animasi kartun popular.

Bukan hanya setiap sudut tandas dihias cantik malah keadaan tandas yang bersih memberikan suasana yang tenang kepada setiap murid yang menggunakan.

Justeru dengan inisiatif yang diambil oleh pihak sekolah dalam menjaga dan mengindahkan tandas membolehkan SK Padang Temu menerima Sijil Penarafan Tandas Lima Bintang daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) apabila memperoleh markah keseluruhan penilaian berjumlah 99.5 peratus.

Guru Besar SK Padang Temu Nor Hamizah Daud berkata, inisiatif yang dibawa pihak sekolah dalam menghias dan mengindahkan tandas bukan hanya bertujuan untuk menjaga kebersihan malah memupuk akhlak serta disiplin murid.

Menurutnya, inisiatif itu sudah dilakukan pihaknya pada tahun lalu bermula dengan tandas guru sebelum diperluaskan kepada tandas murid pada tahun ini selain turut mendapat sokongan daripada pihak luar yang memberi sokongan.

“Sebenarnya tujuan kami bukan hanya untuk penggredan tetapi ini adalah situasi sebenar (tandas) sepanjang masa yang diamalkan warga SK Padang Temu.

“Malah apabila sampai ditahap mendapat lawatan hampir seluruh negara dan mereka sangat teruja serta kagum dengan apa yang kami amalkan jadi saya rasa patutlah ia mendapat satu pengiktirafan.

“Ini bukan hanya untuk menjadi contoh kepada sekolah lain di Melaka tetapi juga sekolah lain di seluruh negara malah ini semua adalah kerjasama semua pihak termasuk juga murid yang banyak menyumbang,” katanya ketika ditemui selepas Program Generasi Wawasan MBMB Dan Penggredan Tandas Awam Tahun 2023 yang disempurnakan Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman, di SK Padang Temu, hari ini.

WhatsApp Image 2023-07-05 at 14.38.51 (1)
SHADAN (kanan) dan Nor Hamizah ketika meninjau keadaan tandas di SK Padang Temu yang menerima Sijil Penarafan Tandas Lima Bintang daripada MBMB.

Menurut Nor Hamizah, tandas murid akan dibahagikan kepada setiap rumah sukan untuk dipantau dan dijaga, meskipun begitu menjadi tanggungjawab setiap murid menjaga kebersihan serta keindahan tandas.

“Kami bersama-sama iaitu guru dan murid akan menjaga kebersihan tandas, khususnya pada hari kokorikulum pada Selasa selain itu murid mengikut rumah sukan turut diberi tanggungjawab membersihkan tandas yang dijaga dengan menambah baik kerosakan serta menanam pokok bunga.

“Setiap dekorasi dan tema tandas yang dipilih diputus sendiri oleh setiap rumah sukan, contohnya tampil dengan hiasan animasi seperti kartun Mechamato, Princess dan juga Marvel. Sebenarnya konsep menjaga tandas ini diterapkan kepada semua murid.

“Sebab itu kalau lihat tiada satu contengan pun kerana bila kami laksanakan projek ini, kita bukan sahaja bertujuan menghias tandas tetapi menghias akhlak serta perilaku murid, malah setiap hari guru akan memberi peringatan tentang penjagaan kebersihan. Apabila tandas cantik murid pun secara tidak langsung sayang untuk menconteng,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5946
Kongsi :
Previous post UTeM cipta sejarah tersenarai di QS 2024
Next post ‘Menggigil lihat si adik kebiruan’
Ubah saiz-+=