Tanam terung, babi hutan tak ‘kacau’
AYER LIMAU 11 Feb – Pekebun memilih mengusahakan tanaman terung berbanding sayur lain kerana harganya lebih stabil dan tidak diganggu haiwan perosak.
Khairun Nizan Azizan, 44, berkata dia memilih menanam 3,200 pokok terung berbanding sayur lain di kebunnya seluas 0.8 hektar sejak tiga tahun lalu kerana tidak mengalami kejatuhan harga lebih ketara berbanding sayur lain.
“Sebelum ini saya pernah mengusahakan tanaman cili merah, cili padi, jagung, sawi dan bayam tetapi harganya sering turun dan naik dengan amat ketara.
“Alhamdulillah, sejak menanam terung, harganya tidak pernah turun daripada RM3.50 sekilogram dan jika naik, ia boleh mencecah RM5 sekilogram.
“Harga bergantung kepada penawaran terung oleh pekebun dan jika ia melebihi permintaan, harga akan turun dan begitu juga sebaliknya,” katanya ketika ditemui di kebun sayurnya di Kampung Paya Lebar, Lubok Cina dekat sini hari ini.
Khairun berkata, faktor tidak diganggu babi hutan juga mendorong beliau menanam terung berbanding jika menanam sayur lain.
Dakwanya, jika babi hutan menceroboh masuk ke dalam kebun yang dipenuhi dengan terung, haiwan liar itu tidak merosakkan tanaman kerana dipercayai tidak gemar sayur berkenaan.
Menurutnya, sebelum ini, kebunnya sering diceroboh babi dari hutan berhampiran untuk mencari makanan dan yang paling digemarinya ialah ubi kayu dan jagung.
“Saya tidak tahan apabila babi hutan menceroboh masuk ke dalam kebun dan memakan jagung dan ubi kayu,” katanya.
Dia berkata, sejak tiga musim penanaman terung yang lalu dia memilih menggunakan benih terung yang sederhana panjang kerana ia lebih digemari pengguna.
Katanya, pemborong meminta dia menanam terung berkenaan kerana rasanya lebih manis berbanding terung bulat atau yang panjang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.