TANAM MELON, IKHTIAR UNTUK UBAH NASIB

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

KLEBANG 13 November – “Mungkin dengan cara ini dapat buktikan yang saya sekarang betul-betul sudah berubah dan ingin berhijrah kepada kehidupan yang lebih baik.

“Meskipun tanggapan masyarakat terhadap orang seperti kami ini tidak begitu manis, namun percayalah besar harapan kami untuk menjalani kehidupan seperti insan yang lain,” kata bekas penagih dadah yang hanya dikenali sebagai Zack.

Zack, berusia 40-an, antara 32 Klien Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) kini sedang mengikuti Latihan Khas Melon To Million 2024 Kerajaan Negeri Melaka.

Berasal dari Masjid Tanah, Zack, berkata lebih 25 tahun dia mensia-sia hidupnya akibat terjebak dengan najis dadah dan kini sudah tiba masanya untuk berubah serta mempunyai kehidupan yang lebih baik.

“Tanggapan masyarakat memang tidak dapat diubah dan status bekas banduan menyukarkan saya mendapat pekerjaan, jadi dengan adanya latihan ini, ia bagaikan permulaan kehidupan baharu bukan untuk saya sahaja tetapi rakan-rakan lain.

“Menerusi latihan ini semuanya sudah tersedia, malah kami juga dihantar mengikuti kursus. Banyak manfaat dan ilmu dapat dipraktikkan bukan hanya sepanjang latihan tetapi untuk jangka masa panjang,” katanya yang ditemui di plot tanaman melon di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Pulau Gadong, semalam.

Bapa kepada seorang anak ini berkata, peluang mengikuti latihan tanaman melon itu bukan hanya memberi manfaat kepada dirinya tetapi akan digunakan untuk membantu rakan yang senasib dengan dirinya.

“Ini adalah permulaan untuk cuba belajar dan kelak sekiranya ada rezeki saya akan cuba untuk mencari tanah bagi melatih bekas penagih yang lain,” katanya.

Sementara itu, bagi seorang lagi bekas penagih yang kini menghuni Rumah Pengasih Jasin, hanya mahu dikenali sebagai Din, 42, berkata, dia amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka, kerana memberi peluang kepada Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah Alor Gajah (JKPD) untuk melatih mereka.

“Peluang sebegini perlu direbut oleh bekas penagih yang betul-betul ingin berubah selain diberikan latihan mereka juga menerima elaun bulanan.

“Boleh katakan ini peluang untuk saya sendiri ubah kehidupan dan kembali semula kepada masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

101
Kongsi :
Previous post RXZ MEMBERS MELAKA: DATARAN MITC DIJANGKA ‘FULL HOUSE’
Next post JKPD KOMITED BANTU BEKAS PENAGIH BINA KEHIDUPAN BAHARU
Ubah saiz-+=