Tanah terbiar seluas 3,269 hektar harus dimajukan – KM
LENDU 14 Sept. – Tanah terbiar seluas 3,269 hektar di seluruh negeri ini harus segera dimajukan kerana ia merugikan pemilik tanah dan ekonomi negeri.
Ketika membuat seruan itu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali semalam menggesa anggota komuniti memajukan tanah berkenaan, khususnya dalam industri pertanian dan penternakan.
Katanya, usaha berkenaan harus dilaksanakan melalui pelaburan pemilik tanah secara individu atau melalui kerjasama dengan syarikat, termasuk koperasi bagi membantu memajukan sosioekonomi anggota komuniti di luar bandar, terutama Bumiputera.
“Berdasarkan Daftar Tanah Terbiar Melaka 2014, ada 2,568 lot tanah seluas 3,269 hektar yang tidak diusahakan dengan projek pembangunan industri pertanian atau penternakan.
“Angka itu mempamerkan betapa ia merugikan pemilik tanah dan ekonomi negeri dan bagi memajukannya, kita tidak perlu menjualnya, sebaliknya kita sendiri yang memajukannya melalui pelaburan sendiri atau kerjasama dengan syarikat, termasuk koperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Projek Usahawan Agro Koperasi Usahawan Masjid Tanah Berhad (KUSMET) di Kampung Solok Air Batu, di sini.
Hadir sama, Pengerusi KUSMET, Datuk Mohd Alias Abdul dan ketua projek berkenaan, Dr Baharuddin Othman.
Projek itu membabitkan usaha KUSMET memajukan tanah terbiar seluas 12 hektar milik 15 penduduk kampung berkenaan dengan industri penanaman nanas, labu dan pisang yang dijangka mengambil tempoh antara satu hingga dua tahun.
Sulaiman berkata, berikutan kegagalan pemilik tanah dan syarikat memajukan tanah terbiar, kawasan yang bersemak-samun dan sesetengahnya sudah menjadi hutan, dihuni haiwan liar, terutama babi hutan dan monyet.
“Belia yang terkesan dengan pandemik COVID-19 sebelum ini, sekarang adalah masa untuk memajukan sektor pertanian dan mengorak langkah untuk mencapai kejayaan kerana pulangan hasil pertanian antara tiga hingga empat kali ganda,” katanya.
Beliau menegaskan, tidak ramai pihak sama ada individu atau koperasi yang mempunyai semangat dan keinginan seperti ahli KUSMET yang sanggup menghadapi cabaran untuk memajukan tanah terbiar.
Sehubungan itu, beliau meminta Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia dan Jabatan Pertanian membantu individu atau koperasi yang berusaha untuk mengubah hutan dan semak samun menjadi kebun atau ladang pertanian menguntungkan.
Katanya, kemajuan dalam sektor pertanian bukan setakat membantu meningkatkan sosioekonomi pemili tanah dan koperasi, malah membantu meningkatkan pengeluaran bahan makanan dalam negara.