Sorting by

×

Tanah terbiar jadi kawasan pertanian berteknologi tinggi – KM

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 24 Jun – Tanah dan sawah terbiar di negeri ini akan dijadikan kawasan pertanian berteknologi tinggi, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Katanya, cadangan itu bertujuan menyokong sekuriti makanan negara dan Negeri Melaka, selain memastikan bekalan makanan untuk rakyat sentiasa mencukupi.

“Kita minta Jabatan Pertanian Negeri Melaka mengkaji kawasan tanah terbiar dari Sungai Rambai hingga ke Kuala Linggi untuk kita jadikan kawasan pertanian dan keterjaminan makanan berteknologi tinggi.

“Berteknologi tinggi ini bermaksud ia mesti bersesuaian dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) pada masa kini yang mana penggunaan tenaga manusianya hanya sekitar 30 peratus dan selebihnya menggunakan teknologi.

“Jadi kita minta pengusaha kawasan tanah terbiar ini diberikan suntikan modal yang bersesuaian untuk menambah hasil pertanian yang lebih baik kepada negeri dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Melaka AgroFest 2023 di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, barisan-barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Mengulas mengenai penganjuran AgroFest 2023, Ab Rauf berkata, program itu berupaya menjadi platform kepada petani, penternak dan nelayan Negeri Melaka mempamerkan dan memasarkan hasil mereka.

Beliau turut menyuarakan harapan agar lebih ramai petani, penternak dan nelayan dapat berdaftar dengan persatuan yang ada bagi membolehkan mereka dibantu menerusi pelbagai inisiatif yang jabatan dan agensi berkaitan pertanian dan keterjaminan makanan.

“Ini bagi membantu mereka meningkatkan lagi kualiti hasil mereka pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1762
Kongsi :
Previous post Suami isteri ditahan disyaki dera kanak-kanak lelaki
Next post Melaka muncul pengeluar ikan keli, telur terbesar negara
Ubah saiz-+=