Tanah terbiar ditanam tanaman kontan – Ghazale
JASIN 6 Sept – Penduduk kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim perlu mempraktikkan konsep pertanian kontan bagi mendapatkan sumber pendapatan tambahan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Wira Ghazale Muhammad berkata setakat hari ini kira-kira 250 ekar (101.2 hektar) tanah terbiar di DUN itu telah diusahakan dengan tanaman kontan seperti sayur-sayuran.
“Di DUN Rim kita ada 300 ekar (121.4 hektar) tanah terbiar, tapi 250 ekar daripadanya kita usahakan sebagai kawasan pertanian tanaman sayur-sayuran.
“Dulu di sini banyak kawasan sawah, tapi bila sistem pengairan kurang baik sawah tak menjadi…daripada terbiar saya galakkan mereka untuk hasilkan tanaman kontan.
“Siapa yang ada kawasan kosong kita usahakan dengan masyarakat setempat, dia akan sewa tanah dan usahakan jadi kawasan pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui MHI di Japerun Rim di sini, hari ini.
Ghazale berkata, hasil sayur-sayuran terbabit telahpun dipasarkan ke Pasar Besar Melaka dan di Tangkak, Johor.
“Bila kita bangunkan tanah-tanah terbiar dengan tanaman kontan, sekarang kita dapat bekalkan sayuran kepada penduduk setempat sampai ke Pasar Besar Melaka dan Tangkak.
“Memang kita galakkan tanaman ini kerana ia mampu memberi sumber pendapatan tambahan kepada mereka yang mengusahakannya,” katanya sambil memaklumkan terdapat kira-kira 40,000 penduduk di DUN itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.