Tanah runtuh: KPKT salur RM1 juta untuk proses pembersihan
KUALA LUMPUR, 11 Mac – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan RM1 juta kepada Majlis Pembandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi proses membersihkan lokasi insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang di sini.
Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata peruntukan itu akan dimanfaatkan oleh MPAJ sebaik sahaja kawasan berkenaan diklasifikasikan selamat.
Beliau berkata bantuan lain akan diberikan bergantung kepada keperluan penduduk setempat.
“Kita juga meminta jabatan yang berkaitan supaya melakukan analisis risiko cerun bagi memastikan penduduk setempat berasa selamat berada di kawasan perumahan mereka,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi insiden runtuhan di Taman Bukit Permai 2, Ampang, hari ini.
Sementara itu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar yang turut meninjau kawasan kejadian berkata ujian cerun perlu dijalankan oleh jabatan berkaitan susulan beberapa insiden membabitkan kawasan cerun berlaku dalam negara kebelakangan ini.
“Sudah sampai masanya kerajaan Persekutuan membuat kajian mengenai kedudukan bukit dan tanah tinggi terutamanya di kawasan Ampang. Kita tidak mahu peristiwa Highland Tower berulang lagi,” kata Noh Omar yang juga pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Tenaga Nasional Berhad telah memotong bekalan elektrik ke kawasan bencana itu bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini.
“Kita harap pihak yang terlibat boleh melakukan kajian susulan mengenai punca insiden ini dan berharap ia tidak berulang lagi,” katanya.
Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang yang berlaku pada petang semalam meragut empat nyawa manakala seorang cedera ringan, selain menyaksikan 15 buah rumah serta 10 kenderaan terjejas. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.