Tanah runtuh di Batang Kali kejadian kedua terbesar libatkan jumlah mangsa maut
KUALA LUMPUR, 26 Disember – Kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali dekat sini pada 16 Dis lepas merupakan kejadian kedua terbesar melibatkan jumlah mangsa maut selepas runtuhan Kondominium Highland Towers pada 1993 yang mengorbankan 48 nyawa.
Tragedi pada kira-kira pukul 2.30 pagi 16 Dis itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan.
Kejadian menyayat hati itu meragut 18 nyawa individu dewasa dan 13 kanak-kanak, dengan 20 mayat ditemukan di sektor A, satu sektor B dan 10 lagi di sektor C di kawasan perkhemahan tersebut.
Menurut Komander Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Mohd Khairul Jamil ketika menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan, pihaknya agak terkejut apabila diberitahu jumlah mangsa yang terlibat adalah 100 orang.
“Kebiasaannya sebelum ini kejadian runtuhan hanya melibatkan seramai tiga atau empat orang mangsa, bila diberitahu 100 orang mangsa terlibat dalam kejadian pada hari itu ia amat mengejutkan saya.
“Kemudian saya mengarahkan satu pasukan 10 anggota yang diketuai oleh Ketua Sektor Heavy USAR SMART, Mohamad Hafiezul Abdul Halim ke lokasi kejadian. Kejadian di Batang Kali ini merupakan kejadian kedua terbesar melibatkan mangsa yang terkorban selepas Highland Towers,” katanya dalam “Rancangan Apa Khabar Malaysia” terbitan Bernama TV hari ini.
Dalam pada itu Mohamad Hafiezul berkata peranan pasukan beliau di lokasi kejadian adalah untuk memberi bantuan dari segi kepakaran dan khidmat nasihat agar kerja-kerja mencari dan menyelamat dapat dijalankan dengan lebih berkesan.
Beliau berkata antara alatan yang dibawa oleh pasukannya pada hari pertama kejadian adalah “structural movement sensor” yang mengawasi pergerakan tanah yang boleh membahayakan pasukan penyelamat.
“Antara lain pasukan kami juga yang memberi nasihat agar jentera berat digunakan dalam kerja mencari susulan ketebalan tanah yang dianggarkan sehingga 20 meter,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.