Tanah mendap bimbangkan jemaah masjid

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

TANJUNG BIDARA 4 Okt. – Mendapan tanah di tempat parkir kenderaan Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, di sini membimbangkan jemaah.

Sejak dua bulan lalu, rekahan pada tembok pagar masjid dikesan semakin memanjang dan melebar akibat mendapan tanah berikutan hakisan pada tebing anak sungai berhampiran.

Pengerusinya, Datuk Abdul Mutallif Che Mat berkata, rekahan itu dikesan sejak dua bulan lalu dan ia semakin melebar sejak minggu lalu berikutan hujan lebat yang menyebabkan hakisan pada tebing anak sungai semakin teruk.

“Kami amat bimbang rekahan dinding tembok semakin melebar dan mendapan tanah sudah terlalu hampir dengan tandas yang baru kami bina tahun lalu.

“Jika tembok itu runtuh dan mendapan tanah semakin melebar, lama kelamaan tandas akan roboh,” ketika ditemui di masjid itu hari ini.

MOHD FAZAR menunjukkan tebing anak sungai yang mengalami hakisan berhampiran Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, Masjid Tanah.

Bilal, Mohd Fazar Abdul Samad berkata, hujan lebat sejak minggu lalu menyebabkan sangkar batu pada tebing anak sungai semakin longgar.

“Aliran air deras menyebabkan hakisan pada bahagian bawah tebing anak sungai yang lama kelamaan menarik tanah berhampiran tembok dan tandas.

“Kami amat bimbang jika keadaan ini berlanjutan, akan mendedahkan tandas dan tempat parkir diheret bersama-sama tanah runtuh,” katanya.

Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid, Ali Long berkata, hakisan tebing berkenaan susulan daripada hakisan pada struktur bawah jambatan anak sungai berkenaan yang hanya kira-kira 10 meter dari tembok masjid.

“Tiga tahun lalu, tebing bawah jambatan yang berfungsi sebagai laluan utama Masjid Tanah ke Pengkalan Balak rosak akibat hakisan tetapi sudah dibaik pulih oleh Jabatan Kerja
Raya (JKR),” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPS negeri, Abdul Hakim Hamzah berkata, jabatan itu sudah mengarahkan Pejabat JPS Daerah Alor Gajah menjalankan siasatan.

Katanya, tindakan susulan bergantung kepada hasil kajian berkenaan dan jika keadaan mendesak, tindakan segera akan diambil.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

845
Kongsi :
Previous post CPF Melaka rekod RM8,240 nilai rampasan produk Ivermectin – Rahmad
Next post Adly, Idris mahu jumpa TYT bincang usaha pastikan kestabilan dan kesinambungan pentadbiran
Ubah saiz-+=