Tambahan tanah tapak pelupusan Sungai Udang di peringkat akhir

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 20 Ogos – Proses penambahan 24.3 hektar tanah sel pelupusan sampah di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang kini telah berada di peringkat akhir pengambilan tanah.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan berkata, dijangka penambahan itu akan bertahan sehingga 50 tahun lagi.

Katanya, proses pengambilan tanah yang dijangka akan berakhir pada hujung tahun ini akan disegerakan bagi membolehkan pembinaan projek sisa kepada tenaga (Waste To Energy -WTE) dilaksanakan.

“Status terkini adalah peringkat terakhir proses pengambilan tanah, yang mana kita akan segerakan.

“Hal ini kerana, keadaan di tapak sel pelupusan sudah berada pada tahap maksimum dan penggunaan sepenuhnya tapak tersebut adalah dijangka pada tahun 2024.

“Penambahan 60 ekar (24.3 hektar) sel tapak pelupusan ini dijangka dapat memanjangkan hayat penggunaan tanah di tapak terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Kemuncak Hari Kitar Semula Sisa Fabrik 2022 di Dataran MBMB, Graha Makmur hari ini.

Hadir sama Pengerusi, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Datuk Rizalman Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Ismail Mokhtar.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata pada tahun lalu sebanyak 346,750 tan sampah telah dihantar ke tapak pelupusan Sanitari Sungai Udang dengan kos pelupusan sebanyak RM12.6 juta.

Ujarnya, pada tahun ini juga bermula dari Januari hingga Julai, pelaksanaan ‘Trash to Cash’ iaitu pembelian barangan kitar semula berjaya mengutip sehingga 700 tan barang kitar semula dengan nilai RM143,000.

“Saya harap pihak SWCorp dapat memperkemaskan lagi program-program seumpama ini bagi meningkatkan lagi kesedaran dalam masyarakat di negeri ini yang dilihat membantu untuk mengurangkan bahan-bahan dan sisa-sisa yang akan dibuang di Pusat Sanitari Sungai Udang pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2053
Kongsi :
Previous post Lelaki ditahan berhubung kes ugut Ketua Hakim Negara – Bukit Aman
Next post Salah beri ubat: Jabatan Kesihatan Sabah mohon maaf
Ubah saiz-+=