Sorting by

×

TAMBAH TABIKA PRA TAHFIZ DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

PENGKALAN BATU 18 Februari – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan mewujudkan lebih banyak Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Pra Tahfiz di Melaka, pada tahun ini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pelaksanaan itu bermula tahun lalu menerusi projek perintis melibatkan 30 hingga 40 buah Tabika KEMAS.

Katanya, penubuhan kelas itu adalah sebagai komitmen kerajaan dalam memastikan pendidikan al-Quran terus menjadi tunjang dalam membina generasi yang berakhlak, berilmu dan berdaya saing.

“Ini adalah inisiatif yang amat baik kerana pada hari ini selain memberi penekanan kepada 3M (membaca, menulis, mengira) pendedahan tentang tahfiz juga amat penting.

“Selain anak-anak ini dapat menguasai 3M anak-anak boleh membaca al-quran dan menulis jawi dengan baik. Justeru pada tahun ini kita sasarkan pertambahan Tabika Pra Tahfiz ini antara 20 hingga 30 peratus daripada jumlah tahun lepas selain akan ditambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau ditemui selepas turut serta dalam ziarah kasih sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu bersama-sama Adun Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin, semalam.

Dr. Muhamad Akmal berkata, projek perintis tabika pra tahfz dimulakan tahun lalu juga mendapat maklum balas dan Sambutan amat menggalakkan dalam kalangan ibu bapa.

“Sambutan diterima amat menggalakkan dan dengan jumlah penyertaan yang baik ia menunjukkan masyarakat menyambut baik usaha KEMAS memperkukuhkan lagi nilai Islam dalam sistem pendidikan awal kanak-kanak di negara ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, lebih 70 peratus daripada hampir 60,000 murid tabika pra-tahfiz seluruh negara berjaya menguasai lebih 10 surah pendek (Juz Amma) al-Quran pada tahun lepas.

Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man berkata, pencapaian membabitkan kanak-kanak berusia lima dan enam tahun itu merupakan perkara membanggakan, sekali gus memperkasakan mereka untuk terus mencintai al-Quran.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

388
Kongsi :
Previous post UTEM LEBAR SAYAP TVET JELITA@UTEM KE UZBEKISTAN
Next post VAKSIN INFLUENZA PERCUMA UNTUK WARGA EMAS DI MELAKA BERMULA HARI INI