Sorting by

×

Tambah PPS, kurangkan risiko penularan COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 19 Okt. – Penambahan jumlah operasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dicadang sebagai alternatif bagi membendung penularan wabak COVID-19 ketika musim tengkujuh melanda negeri ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, alternatif terbabit akan diguna pakai sekiranya jumlah mangsa banjir meningkat yang membuatkan kuota bagi penetapan mangsa melebihi pada jumlah yang ditetapkan.

Jelasnya, langkah itu diambil dengan mengurangkan kadar jumlah mangsa banjir di dalam sesebuah PPS bagi memastikan keselamatan orang ramai diperketatkan mengikut ketetapan dalam pengendalian norma baharu.

“Malah, kita akan mengetatkan kehadiran orang ramai ke lokasi terbabit selain penggunaan piawaian yang ditetapkan perlu diperkasa bagi membendung orang ramai berkumpul di kawasan terbabit.

“APM juga tidak menggalakkan orang ramai terutama dalam kalangan orang berkepentingan (VIP) bagi menghadiri PPS di samping akan memperketatkan tatacara keselamatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Menurutnya, pihaknya bersedia bagi mendepani musim tengkujuh yang dijangka tidak menentu pada tahun ini.

“Kita menjangkakan musim ini akan berlarutan sehingga Mac depan dan persediaan awal telah dilaksanakan APM termasuk persediaan penyusunan aset dan tenaga yang diperlukan ketika bencana terbabit berlaku.

“Pihak kami bersama agensi terlibat telah bersiap sedia menghadapi situasi terutama apabila perlu berdepan banjir dan penularan COVID-19 yang berlaku serentak,”katanya.

Views:

287
Kongsi :
Previous post Pusat operasi tumpahan minyak Tanjung Tuan ditutup
Next post COVID-19: Melaka catat 16 kes baharu, Kluster Bukit direkodkan
Ubah saiz-+=