Tambah peruntukan jayakan TMM2024
KUALA LUMPUR 15 Julai – Kerajaan Persekutuan sedia membantu Kerajaan Negeri Melaka untuk menjayakan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Mengulas mengenai TMM2024 berbaki hanya enam bulan lagi, beliau berharap Kementerian Pelancongan Seni dan Warisan menyediakan peruntukan yang lebih besar kepada Kerajaan Negeri Melaka.
“RM25 juta untuk jayakan TMM2024 bagi saya jumlah kecil untuk diluluskan menteri pelancongan. Mungkin jumlah lebih besar (diperlukan) dan jika dibawa ke kabinet saya orang pertama akan sokong pertambahan peruntukan untuk TMM2024.
“Saya yakin dengan kemampuan Ketua Menteri, Exco dan pentadbiran Kerajaan Negeri dalam menjayakan TMM2024,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Tahun Melawat Melaka 2024 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) Jalan Ampang, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Zaidi Johari serta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum.
Turut Hadir, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman bersama timbalan beliau Datuk Zaidi Attan, Exco, Timbalan Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), ketua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Melaka.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Zamri Mat Zain, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Dr. Ammar Abd Ghapar, pesuruhjaya tinggi dan duta negara asing ke Malaysia temasuk Duta China serta Belanda.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar tumpuan diberikan kepada sub sektor pelancongan agama di Pulau Besar.
“Secars tidak langsung ia membantu menghalang aktiviti bidaah. Malah Pulau Besar adalah tapak pertama menjadi persinggahan ulamak menyebarkan Islam di Melaka yang kemudian tersebar ke negara ini.
“Selain itu lebih ramai pelancong dari China boleh ditarik ke Melaka menerusi kerjasama dengan CNTA (China National Tourism Administration),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.