Sorting by

×

Tambah kerisik baru ada ‘umph’

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

HATINYA berbelah bahagi ketika mengambil keputusan untuk berhenti daripada bekerja di sebuah kilang semata-mata untuk menjaga ibu bapanya di Kampung Ayer Hitam Darat, Masjid Tanah, di sini, pada 2004.

Namun keihklasan menjaga ibu bapa, menjadi pembuka rezeki buat Norsiah Jantan, 56, apa tidaknya dia kini bergelar usahawan kampung apabila kerisik kelapa yang diusahakan mendapat permintaan cukup tinggi termasuk dalam kalangan pelanggan dari luar Negeri Melaka.

Rezeki tidak tersalah alamat, itulah ungkapan sesuai untuk menggambarkan kejayaan Norsiah, apabila resipi kerisik dipelajari daripada ibunya Saripah Mintol, 75, laris seperti pisang goreng panas.

Wanita ini berkata, idea untuk memproses dan memasarkan kerisik itu bermula selepas melihat banyak kelapa tua yang terbiar di halaman rumah keluarganya.

“Saya nekad berhenti kerja kerana ketika itu arwah abah tidak sihat, ibu pula semakin uzur. Atas dorongan dan bantuan ibu saya usahakan produk kerisik ini, bermula secara kecil-kecilan dan dihantar ke beberapa kedai sekitar Masjid Tanah sahaja.

“Selepas 10 tahun produk saya sudah dipasarkan hingga ke Selangor, Kuala Lumpur dan beberapa lokasi sekitar Lembah Klang, semua ini juga adalah hasil sokongan adik-beradik yang lain,” katanya.

Menurutnya, permintaan pasti akan meningkat membuatkan dia tidak memang tangan setiap kali musim cuti umum berikutan ramai yang melangsungkan majlis kenduri perkahwinan selain sambutan perayaan utama masyarakat Melayu.

WhatsApp Image 2022-11-15 at 3.21.55 PM
MEMASAK kelapa menggunakan mesin mampu menyingkatkan proses menyediakan kerisik yang dihasilkan Norsiah.

Dia mengakui permintaan terhadap produknya itu ada pasang surutnya, berikutan itu Norsiah turut menjual bahan lain seperti santan kelapa dan tahi minyak yang juga menjadi ramuan utama dalam menyediakan masakan tradisional masyarakat Melayu.

“Kebiasaannya kerisik akan diletakkan dalam masakan seperti rendang dan asam pedas supaya kuahnya menjadi lebih pekat. Bagi saya kalau masak asam pedas kena campur kerisik, kalau tidak memang kurang menyelerakan,” katanya.

Jelasnya, proses menyediakan kerisik menggunakan kaedah tradisional mengambil masa yang lama dan memerlukan kesabaran, berikutan itu dalam usaha menembusi lebih banyak pasaran, Norsiah memanfaatkan bantuan mesin daripada Jabatan Pertanian Daerah Alor Gajah.

“Kalau dulu mahu buat kerisik kelapa yang diparut itu mesti dijemur seharian agar betul-betul kering. Seterusnya dimasak atau dipanggil ‘menyangai’ sampai garing barulah digiling.

“Namun atas inisiatif diberikan kerajaan, saya mampu menyingkatkan proses itu kepada sehari sahaja. Sekarang ini saya mampu memproses 80 biji kelapa untuk menghasilkan kira-kira 20 kilogram kerisik dalam tempoh yang singkat.

“Terima kasih diucapkan kepada Jabatan Pertanian dalam usaha membantu mengembangkan perniagaan yang kami sekeluarga usahakan ini. Saya harap akan ada peluang lain ditawarkan kepada saya seperti pendedahan ilmu jualan dalam atas talian agar produk ini lebih meluas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3376
Kongsi :
Previous post Polis ambil keterangan Zul Huzaimy keluar kenyataan berbaur perkauman, ugutan
Next post Pecutan hari-hari terakhir kempen
Ubah saiz-+=