Tambah baik rangkaian internet di kampung
RIM 6 Sept – Liputan rangkaian internet di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim perlu ditambah baik bagi memastikan kemudahan itu dapat memanfaatkan seluruh masyarakat di kawasan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Wira Ghazale Muhammad berkata, ia berikutan hanya terdapat satu menara pencawang yang ditempatkan di Kampung Chabau, Jasin.
“Kita hadapi masalah liputan internet khususnya dalam musim pandemik COVID-19 kerana anak-anak belajar dari rumah dan ada Bekerja Dari Rumah (BDR).
“Liputan memang ada masalah, di sini ada 17 kampung dan pencawang ada satu di Chabau tapi hanya untuk rangkaian telekomunikasi Digi, bila orang pakai line lain dah tak dapat.
“Pencawang tu ada tapi kenapa tak selaraskan semua syarikat telekomunikasi di menara itu,” katanya ketika ditemui di Japerun Rim di sini, hari ini.
Beliau turut meminta Melaka ICT Holding Sdn. Bhd. (MICTH) supaya menambahbaik liputan internet di beberapa kawasan di DUN itu yang mengalami masalah.
“Saya juga dah minta MICTH supaya tolong naik taraf (liputan) di beberapa kawasan yang sya kenal pasti ada masalah liputan internet.
“Di Simpang Bekoh, Chabau, Chincin dan Chohong tiada masalah internet, saya minta kerajaan negeri boleh tambah baik Unifi di setiap masjid di kampung-kampung.
“Buat (pemasangan) ‘booster’ di masjid-masjid ini sekurang-kurangnya liputan internet itu boleh sampai dua hingga tiga kilometer di setiap kampung,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.