Tambah baik modul PEDi – Timbalan Exco
SERI NEGERI 27 Ogos – Beberapa pembaharuan dalam modul Pusat Ekonomi Digital (PEDi) akan ditambah baik dalam mentransformasikan penjaja desa ke peringkat lebih tinggi.
Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Datuk Noor Helmy Abdul Halem berkata, dalam memberi pendedahan lebih luas kepada usahawan penambahbaikan perlu dilakukan seiring dengan teknologi pada masa kini.
“Kita hendak memberi tumpuan PEDi ini ke arah yang berbeza dalam memperkasakan penjaja jadi saya masih lagi berpegang untuk menjadikan penjaja ke arah ‘’bandar raya’.
“Jadi kita mahu lengkapkan penjaja ini dengan media sosial maksudnya lebih kepada ‘online marketing’ untuk itu modul pendidikan di PEDi ini kita akan ubah ke arah pemasaran digital seperti Tik Tok,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Penganugerahan sempena Sambutan Hari Jadi ke-74 Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, hari ini.
Beliau berkata, penambahbaikan dilakukan itu juga adalah bagi mendekatkan jurang antara penjaja dengan kehendak industri pada waktu ini.
“Kalau boleh kita mahu tambah baik biar (penjaja) selari dengan keperluan semasa, apabila mereka datang ke PEDi bukan lagi untuk belajar asas seperti Microsoft Word sebaliknya sudah mahir dan dapat membudayakan digital.
“Malah seperti di PEDi Taman Seri Duyong 2 saya ada minta sedikit peruntukan untuk naik taraf kawasan itu bagi memberi kemudahan lebih meluas kepada penjaja,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.