Sorting by

×

Tambah baik kemudahan di zon bebas kenderaan

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BANDA HILIR 30 Ogos – Kemudahan dan fasiliti di kawasan zon bebas kenderaan (car free zone) menjadi antara tumpuan Kerajaan Negeri untuk ditambah baik.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, antara perkara yang diberi perhatian ialah kawasan parkir kenderaan bagi memastikan inisiatif yang sedang dalam fasa percubaan itu berjalan lancar.

Selain kemudahan, Rais berkata, kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dipertingkat dalam usaha mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

“Seperti kita sedia maklum, perkara ini (zon bebas kenderaan) masih dalam fasa percubaan dan kita sedang mencari lagi ruang untuk penambahbaikan khususnya kawasan parkir untuk orang ramai.

“Jadi, saya telah mengingatkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) supaya mengambil kira setiap maklum balas, aduan ataupun pendangan daripada masyarakat dan pengunjung itu sendiri supaya kita dapat tambah baik inisiatif ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada Majlis Apresiasi MBMB 2023, di sebuah hotel di Banda Hilir, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Exco Kanan Perumahan , Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim Dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Noor Helmy Abdul Halem dan Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut, Rais berkata, penambahbaikan tersebut adalah seiring dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang berbaki hanya beberapa bulan lagi.

Jelas beliau, dengan penambahbaikan kemudahan, selain inisiatif baharu yang diperkenalkan, ia secara tidak langsung mampu merancakkan lagi kehadiran pelancong ke negeri ini.

Katanya pelbagai aktiviti turut diadakan pada setiap malam minggu seperti ‘fun ride’ dan ‘busking’ untuk memeriahkan kawasan tumpuan di sekitar Banda Hilir.

“Kita mempunyai agenda besar iaitu untuk memastikan TMM2024 dapat dijayakan bersama di samping dalam tempoh empat bulan sebelum menjelang tahun depan, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan memastikan negeri Melaka ini sentiasa dalam keadaan bersih, indah dan sejahtera,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1317
Kongsi :
Previous post PM Anwar sampaikan Amanat Perdana sempena Hari Kebangsaan 2023 petang ini
Next post Pemandu cedera kereta terbabas rempuh tiang lampu
Ubah saiz-+=