Taman Tema Genting Skyworlds dibuka dengan rasmi

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Taman hiburan yang paling dinantikan di Asia Tenggara, Taman Tema Genting SkyWorlds, yang dijangka menjadi salah satu pusat tarikan utama negara, mula dibuka secara rasminya kepada orang ramai hari ini.

Terletak kira-kira 1,800 meter dari paras laut, Genting SkyWorlds menawarkan diskaun 20 peratus daripada kadar yang dihebahkan awal, untuk tempahan mulai hari ini hingga 31 Mac sebagai sebahagian daripada pembukaan awal taman hiburan untuk menerima pelawat, selepas pembukaannya tertangguh beberapa kali sebelum ini.

Tempahan tiket bagi pembukaan awal berharga antara RM128 dan RM151, dengan jualan tiket sudah dimulakan sejak 4 Feb menerusi laman web Genting SkyWorlds (gentingskyworlds.com) dan aplikasi mudah alih Genting SkyWorlds.

Naib Presiden dan Ketua Operasi Taman Tema Resort World Genting, Greg Pearn berkata aplikasi itu, yang pertama bagi rantau Asia Tenggara, turut disepadukan dengan teknologi ‘Baris Giliran Maya’ (VQ), aplikasi pintar yang akan mengurangkan tempoh masa untuk berbaris panjang, yang memberikan keselesaan bagi pelanggan untuk melakukan apa yang diinginkan dan pada waktu yang mereka pilih.

Aplikasi ini bukan sahaja memberikan panduan komprehensif kepada Genting SkyWorlds, malah dengan maklumat tepat masa yang ditampilkan, ia juga membolehkan pelanggan meninjau dan melalui pengalaman berhibur di taman tema itu secara maya sebelum mereka tiba sendiri, sekali gus memberikan meklumat lebih awal mengenai apa yang akan dilakukan, ke mana yang hendak dituju, dan bagaimana untuk sampai ke sana.

Sebelum ini, Ketua Operasi dan Strategi Perniagaan Genting Malaysia Bhd, Lee Thiam Kit dilaporkan berkata taman tema yang dibina dengan pelaburan lebih US$800 juta (US$1=RM4.18) itu adalah pencetus perubahan bagi taman tarikan bertema, yang akan meletakkan Malaysia dan Pahang dalam peta pelancongan dunia.

Beliau berkata taman tema itu akan menyumbang kepada sektor pelancongan dan ekonomi dengan mewujudkan lebih 1,000 pekerjaan.

Dalam tempoh pembukaan awal taman tema itu, akses VQ dan Photo Plus akan disediakan secara percuma, dengan pelanggan boleh memuat turun dan berkongsi kandungan foto digital tanpa had pada kadar diskaun menerusi laman web dan aplikasi mudah alih.

Dibangunkan atas kawasan seluas 10.5 hektar dan menampilkan 26 tarikan, sesuai untuk seisi keluarga dan semua peringkat umur, Genting SkyWorlds akan membawa pengunjung mengalami pengembaraan di puncak tinggi melangit, melalui sembilan pengembaraan ‘filem’ dan ‘dunia’ yang diilhamkan oleh ‘dunia unik’ seperti Central Park, Liberty Lane, Pangkalan Andromeda, Zaman Ais, Epik dan Rio.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1098
Kongsi :
Previous post Harimau Malaya mengaum di udara
Next post Sempadan negara akan dibuka selepas berbincang dengan tiga agensi – Hishammuddin
Ubah saiz-+=