Taman tema air panas permata baharu Gadek

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

GADEK 10 Februari – Taman tema air panas Gadek yang berkonsepkan ‘Wellness and SPA Resort’ dijangka siap pada Ogos tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek VP Shanmugam berkata, projek oleh Perbadanan Melaka (MCorp) dengan kos bernilai lebih RM16 juta itu bakal merangkumi 20 bilik hotel, 12 unit chalet, spa keluarga, surau, viewing deck, selain bangunan pejabat dan kaunter.

Menariknya, beliau berkata, taman tema itu juga akan dilengkapi kolam air panas untuk keluarga, individu dan kolam renang yang menggunakan 100 peratus air panas semula jadi.

“Taman tema ini menggunakan air panas semula jadi bumi yang disalurkan terus ke tangki-tangki bagi mengekalkan rasa panasnya kepada pengunjung.

“Sya difahamkan air panas ini mengekalkan suhu sehingga 50 darjah celcius yang mana selain dapat berendam, ia juga memberi manfaat kesihatan kepada orang ramai.

“Terima kasih diucapkan kepada MCorp dan kontraktor yang merealisasikan pembinaan taman tema ini kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika melawat tapak pembinaan taman tema air panas itu, semalam.

Shanmugam yang juga Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri berkata, dengan terbinanya taman tema itu, ia bakal membawa limpahan kemakmuran bukan sahaja kepada Negeri Melaka, bahkan kepada penduduk di Gadek.

“Saya percaya taman tema bertaraf antarabangsa ini ia akan mengubah Gadek daripada sebuah kawasan luar bandar kepada lokasi tumpuan pelancong.

“Secara tidak langsung rakyat dan penduduk sekitar akan merasai limpahan ekonominya apabila ia mula beroperasi kelak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2770
Kongsi :
Previous post ATM atur gerak petugas, kelengkapan hospital medan ke Turkiye
Next post Harap adik ditemui segera, tidak tahan melihat emosi ibu ayah
Ubah saiz-+=