Taman SDGs jadi hab aktiviti belia pamer seni – EXCO
BANDARAYA MELAKA 27 Mac- Taman SDGs di Sungai Melaka Fasa 2 menjadi hab aktiviti seni anak muda sekali gus menghargai bakar golongan itu di negeri ini.
EXCO Belia dan Sukan negeri, V P Shanmugam berkata perkara itu secara tidak langsung membantu menjana ekonomi anak seni tempatan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
“Kerajaan negeri sentiasa memberi ruang dan peluang kepada mana-mana anak seni untuk berkarya dan dengan adanya hab belia ini sekali gus mampu membawa mereka berdikari tanpa kebergantungan kepada kerajaan negeri.
“Taman SDGs ini akan diangkat menjadi hab aktiviti belia dalam menjalankan aktiviti yang diminati mereka termasuk menonjolkan karya seni.
“Dalam usaha menuju ke fasa endemik akan datang, kita harapkan akan ada pelbagai aktiviti yang akan dijalankan sekaligus mampu menarik pelancong untuk sama-sama menghayati hasil seni anak tempatan,” katanya.
Beliau berkata, demikian dalam sidang media selepas mewakili Ketua Menteri merasmikan Projek ‘River Lights’ 2022 di Taman SDGs, Sungai Melaka, di sini malam tadi.
Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu dan Pengerusi MyCreative Ventures, Noor Azmi Mat Said.
Shanmugam berkata, hab berkenaan juga dilihat berpotensi membuka peluang pekerjaan dan menjana pendapatan, berikutan kewujudan kedai serta premis perniagaan seliaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Mengulas lanjut, Shanmugam berkata menerusi projek River Lights, pengunjung terutamanya belia dapat bersantai di kawasan tepi Sungai Melaka Fasa 2 dan dihiburkan dengan persembahan artis tempatan dari 25 hingga 27 Mac 2022 serta pelbagai lagi aktiviti menarik.
“Antaranya adalah pertunjukan arca yang menampilkan reka bentuk warna pelangi, lampu neon pula akan dikekalkan hingga 31 Mei 2022 khas buat warga Melaka yang ingin bersantai dan berswafoto,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.