Sorting by

×

Taman safari terbesar bakal dibuka di Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 5 Ogos : Taman safari terbesar dengan keluasan 20.2 hektar bakal dibuka di Melaka sekali gus merancakkan lagi  kedatangan pelancong ke negeri ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Zoo Melaka akan bekerjasama dengan Jabatan  Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan pihak swasta yang berminat untuk memastikan ia dapat dijayakan seperti dirancang.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah menerima beberapa kertas cadangan bagi pembinaan taman itu dan ianya akan dibawa ke pengetahuan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Kita ada tanah yang berkeluasan lebih 50 ekar (20.2 hektar) untuk membangunkan Taman Safari ini jadi saya sudah ditunjukkan pelan perancangannya oleh Yang Dipertua MPHTJ selain beberapa kertas cadangan juga sudah diterima dan saya akan lihat bagaimana modul yang terbaik untuk dijayakan.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya akan bawa proposal (cadangan) ini kepada Ketua Menteri selepas kajian dibuat untuk beliau memberikan kelulusan supaya kita boleh jadikan projek ini satu kenyataan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Harimau Sedunia 2023, di Zoo Melaka, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron; Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis dan Pengarah Perhilitan negeri, Petra Sulai.

Rais berkata, dua lokasi sudah dikenal pasti bagi pembinaan taman safari itu namun ianya masih dalam pertimbangan dan kajian perlu dilakukan terlebih dahulu.

“Lokasinya sama ada di Taman Botanikal (atau) mungkin di dalam zoo (Zoo Melaka) kerana masih terdapat lagi kawasan seluas kira-kira 12 hektar yang boleh dibangunkan sebagai Taman Safari.

“Sebab itu dikatakan ia memerlukan kepada satu kajian tetapi saya tidak mahu menunggu masa yang lama kerana Tahun Melawat Melaka 2024 sudah hampir sampai.

“Kalau boleh tahun hadapan kita akan minta Ketua Menteri sekurang-kurangnya untuk merasmikan majlis pecah tanah bagi tapak taman safari, itu sasaran saya,” katanya.

Menurut beliau, perancangan dan kajian yang teliti perlu dibuat bagi memastikan taman safari yang akan dibuka nanti itu terus bertahan dan menjadi lokasi pilihan pelancong seperti Zoo Melaka.

“Kita tidak mahu taman safari ini menjadi satu produk yang nanti kalau tidak dibetulkan tidak boleh bertahan lama seperti di beberapa tempat lain, justeru itu kita perlu ambil satu jalan yang mana kalau buat ia mesti kekal.

“Kita akan pastikan ianya kalau boleh menjadi sehebat taman safari negara luar seperti di Thailand dan Indonesia dan bertahan seperti Zoo Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

10386
Kongsi :
Previous post Warga emas Orang Asli antara 20 penerima MyKad gantian JPN
Next post Mohon tambah peruntukan bagi masyarakat Orang Asli di Melaka
Ubah saiz-+=