TAMAN PUNCAK KASIH TAWAR 127 UNIT KEDIAMAN
MERLIMAU 14 Oktober – Taman Puncak Kasih Merlimau Pasir menawarkan 127 unit rumah berstatus Tanah Adat Melaka (MCL) yang mana hanya untuk Bumiputera sahaja.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, beliau difahamkan 26 unit rumah teres mampu milik dan 27 unit rumah teres kos sederhana telah habis dijual dengan majoriti pembelian adalah warga Merlimau.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan syabas kepada pihak pemaju, Bukit Kenyalang Development Sdn Bhd kerana amat prihatin dengan keadaan semasa.
“Malah, pihak pemaju memberikan komitmen tinggi kerana menyediakan rumah mampu milik dan rumah kos sederhana agar semua lapisan masyarakat dapat memiliki rumah sendiri,” katanya.
Teks ucapan Dr. Muhamad Akmal telah disampaikan oleh wakilnya, Penghulu Merlimau, Datuk Jezlee Pit dalam Majlis Perasmian Taman Puncak Kasih Merlimau Pasir, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Bukit Kenyalang Development Sdn Bhd, Rex Poh Thian Wei dan Roland Heng Aik Leong.
Selain rumah teres mampu milik dan rumah teres kos sederhana, pihak pemaju turut membina rumah teres setingkat dan rumah berkembar setingkat.
“Pihak pemaju turut bangunkan dua lagi jenis rumah dan yang paling penting, pihak pemaju amat menjaga kualiti pembinaan, ini amat wajar dipuji,” jelasnya.
Untuk rumah teres kos sederhana setingkat (20′ x 65′) dijual dengan harga bermula RM99,800 hingga RM136,000 manakala rumah teres mampu milik setingkat (20′ x 70′) dijual dengan harga RM179,800 hingga RM247,000.
Bagi rumah teres setingkat (22′ x 70′) dijual dengan harga RM280,800 hingga RM374,700, manakala rumah berkembar setingkat (40′ x 80′) dijual dengan harga RM417,800 hingga RM474,000.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.