Taman bunga saksi negara merdeka
Oleh: Muhammad Rasul Azli Samad
BANDA HILIR 29 Ogos – Negeri Melaka walaupun kecil di atas peta, tetapi merupakan antara destinasi pelancongan popular di Malaysia.
Rata-rata tempat menarik di Melaka lebih signifikan dengan destinasi bersejarah yang mempunyai seni bina unik dan ada sesetengahnya pula berusia sehingga ratusan tahun lamanya.
Antara destinasi pelancongan menjadi tumpuan adalah di Taman Bunga Merdeka yang dirasmikan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama.
Dahulunya taman ini dikenali Taman Merdeka dirasmikan pada 20 Februari 1956 oleh Tunku Abdul Rahman, bagi mengisytiharkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu (Malaya) di Melaka, selepas pulang dari London.
Taman ini memang cantik dan redup, meskipun pada waktu tengah hari, menjadikannya sebagai tempat sesuai untuk bersantai.
Ia juga berfungsi sebagai sebuah muzium luar dengan mempamerkan pelbagai jenis kenderaan seperti jentera bomba, kereta api dan pesawat udara.
Selain keindahan pokok dan landskap taman serta objek pameran, terdapat ‘historical landmarks’ iaitu kesan binaan Kota Melaka lama dari zaman Portugis.
Di taman ini pengunjung dapat melihat kawasan penyelidikan arkeologi dan ekskavasi untuk mendedahkan keseluruhan binaan Kota Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.