Sorting by

×

Taman Bukit Rambai jadi ‘taman angkat’ AMANITA

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KLEBANG 17 Julai – Taman Bukit Rambai, di sini dipilih sebagai Taman Angkat AMANITA Kontinjen Melaka bagi tahun 2022.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, pemilihan taman itu adalah bersesuaian memandangkan golongan wanita di komuniti berkenaan antara yang paling aktif terlibat dalam Skim Rondaan Sukarela (SRS).

Katanya, AMANITA atau ‘Engage Housewives in Neighbourhood Safety’ diwujudkan bertujuan untuk mengiktiraf kaum hawa sebagai salah satu rakan kolaborasi yang efektif dalam usaha membendung jenayah, menjaga ketenteraman dan keamanan negara.

Justeru, menerusi inisiatif itu jelasnya, wanita perlu menjadi mata dan telinga dengan menyalurkan maklumat mengenai kejadian jenayah dan keselamatan yang berlaku di kawasan kejiranan mereka kepada pihak polis dan juga anggota-anggota SRS yang bertugas.

“Diharapkan wanita di taman ini menggunakan sepenuhnya inisiatif ini bagi mendapatkan pelbagai informasi, melaksanakan aktiviti dan program pencegahan jenayah bersama pegawai kanan dan pegawai rendah polis wanita.

“Saya yakin elemen SRS dapat dimantapkan lagi dengan komitmen penuh golongan wanita di taman ini yang akan digerakkan menerusi inisiatif AMANITA ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jom Ronda Skim Rondaan Sukarela Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Bukit Rambai, di sini, malam tadi.

Terdahulu, program itu telah dirasmikan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Datuk Norison Ramli.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit, Pengarah JPNIN Melaka Intan Suhana Yusuff, Pengerusi KRT Taman Bukit Rambai Ahmad Nor Iman Shawal dan lain-lain kenamaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2415
Kongsi :
Previous post Cadang lantik SRS pantau harga barang
Next post Resting Place of an Idea: The Power of Sunan Kalijaga
Ubah saiz-+=