‘Talak PKP’: Kumpulan B40 paling ramai
AYER KEROH 6 Mac – Golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) menjadi penyumbang terbesar kes penceraian di negeri ini sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan 2.0 yang lalu.
Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka (MSNM), Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman berkata, statistik menunjukkan, 30 peratus lagi adalah kumpulan profesional yang bekerja di sektor kerajaan dan swasta yang pendapatannya tidak begitu terkesan akibat pandemik COVID-19.
Menurutnya, statistik menunjukkan masalah kewangan menjadi antara punca utama perceraian sebelum ia membawa kepada punca-punca lain seperti tiada kesefahaman, pergaduhan kerana alasan remeh, tekanan PKP yang menyebabkan tidak bebas bergerak, masalah seksual dan media sosial.
“Tahun lalu, kes daftar cerai merekodkan 1,981 kes atau 48.2 peratus daripada 4,058 daftar keseluruhan kes dengan purata 165 penceraian sebulan.
“Walaupun kes cerai itu tidak banyak perbezaan dengan dua tahun sebelumnya iaitu 2,192 kes (2019), 1,938 kes (2018), namun angka peningkatan pada dua bulan tahun ini sewaktu PKP 2.0 agak membimbangkan dengan purata 116 penceraian sebulan.
“Dalam tempoh itu, pendaftaran kes cerai meningkat hampir 50 peratus iaitu 231 kes dengan pecahan 91 kes pada Januari dan 140 kes pada Februari lalu daripada keseluruhan 287 kes,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.
Mohd Nadzri berkata, secara keseluruhan bagi tempoh bermula 2018 hingga Februari 2021, pasangan bercerai dibahagikan kepada lima peringkat umur iaitu 20 tahun ke bawah sebanyak 200 kes, 21 hingga 30 tahun (2,030), 31 hingga 40 tahun (2,320), 41 hingga 50 tahun (1,054) dan 51 tahun ke atas sebanyak 668 kes dengan jumlah keseluruhan adalah 6,355 kes.
“Jika dilihat pasangan berusia antara 31 hingga 40 tahun yang usia perkahwinan antara lima hingga 10 tahun adalah kumpulan paling ramai memfailkan perceraian iaitu 2,320 kes termasuk 99 pemohon dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.
“Usia ini adalah peringkat kritikal dan penuh pancaroba yang mana kebanyakan pasangan masih belum stabil dari segi kewangan dan kehidupan sosial mereka,” katanya.
Kumpulan kedua tertinggi pula katanya, adalah pasangan berusia antara 21 hingga 30 tahun yang baru berkahwin antara enam bulan hingga lima tahun iaitu sebanyak 2,030 permohonan cerai bagi tempoh sama.
“Jumlah itu termasuk 73 permohonan cerai bagi tempoh Januari dan Februari sewaktu PKP 2.0 tahun ini,” katanya.
Tambah beliau jika dilihat pada pasangan berusia 20 hingga 40 tahun, golongan itu didapati mendominasi kes perceraian iaitu sebanyak 4,350 kes daripada 6,355 keseluruhan kes,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata MSNM telah mengambil beberapa langkah pendekatan bagi mengurangkan kes penceraian antaranya melalui program ‘Semarak Cinta Tautan Kasih’ yang dilaksanakan bersama kerajaan negeri Disember tahun lalu.
“Program ini bertujuan mengeratkan lagi hubungan kemesraan antara pasangan suami isteri dengan menekankan perasaan saling menghormati dan rasa cinta yang berpaksikan kepada kekuatan agama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.