Tak timbul isu harga tiket muzium mahal jika hargai artifak sejarah
KOTA LAKSAMANA 17 Mei – Kenaikan harga tiket muzium bermula bulan depan tidak seharusnya dipertikaikan sekiranya masyarakat menghargai ketinggian nilai artifak sejarah.
Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, artifak dan tinggalan sejarah yang dipamerkan di muzium sangat tinggi nilainya selain mengandungi ilmu pengetahuan yang perlu dikuasai oleh setiap generasi.
Maka, menurutnya, kenaikan harga tiket baharu itu tidak sewajarnya timbul jika masyarakat mengetahui ketinggian nilai khazanah sejarah negara.
“Kita perlu letakkan artifak atau bahan sejarah yang dipamerkan pada muzium pada satu tahap yang tinggi kerana ia bukan dibuat-buat, ia adalah tinggalan nenek moyang kita sejak ribuan tahun dulu.
“Cuba kita bayangkan kalau sebelum ini, kita masuk enam muzium dengan setiap satunya kita bayar RM1, jadi di mana ‘value’ bahan sejarah yang terdapat di dalamnya?.
“Tetapi jika kita pergi ke mana-mana, perlu bayar mahal RM30-RM40 untuk masuk ke dalamnya boleh pula,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mewakili Ketua Menteri, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali merasmikan Bengkel Konservasi: Pemulihan dan Pemuliharaan Warisan Ketara di sini hari ini.
Seramai 150 peserta terdiri daripada wakil kerajaan tempatan, pelbagai agensi dari seluruh negeri dan pelajar IPTA serta IPTS menyertai bengkel selama tiga hari itu.
Sebanyak lapan kertas kerja dibentangkan sepanjang bengkel berlangsung termasuk lawatan peserta ke Pusat Konservasi Arkeologi, Survey dan Tatacara Pemuliharaan Warisan serta demontrasi.
Selain itu menurut Akramuddin, kenaikan tiket masuk muzium di Melaka masih rendah berbanding negeri lain terutama di luar negara yang jauh lebih mahal.
“Muzium 3D di Indonesia mengenakan tiket masuk RM40 kepada pengunjungnya malah di negara lain juga menetapkan yuran masuk yang agak mahal berbanding muzium di Malaysia,” ujarnya.
Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya akan memastikan kenaikan tersebut tidak akan membebankan pengunjung dan bagi tujuan itu, beberapa rancangan sudah diatur bagi menambah tarikan baharu muzium dari semasa ke semasa.
“Sempena program Hari Muzium Kebangsaan pada pertengahan bulan depan, saya akan menemui pengurus muzium setiap negeri bagi berbincang mengenai pertukaran artifak antara negeri.
“Misalnya, muzium Kedah ada artifak dari Lembah Bujang, kita boleh buat pertukaran artifak dan dari situ, pengunjung di Melaka berpeluang melihat artifak itu di muzium negeri dan sebaliknya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.