Sorting by

×

TAK SEDAP HATI PANGGILAN ANAK TAK BERANGKAT

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

BANDARAYA MELAKA 24 Disember – Panggilan telefon tidak berjawab berakhir dengan berita memilukan buat keluarga Allahyarham Khairul Ikhwan Mazupi, 32, yang merupakan antara mangsa maut dalam kemalangan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan Arah Utara, malam tadi.

Allahyarham Khairul Ikhwan merupakan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang sedang dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Kuala Lumpur.

Turut terkorban adalah isteri arwah, Fadzlenna Ramli, 32, anak bongsu, Muhammad Umar, 2; serta bapa dan ibu mentuanya, Ramli Ab Wahab, 66 dan Fauziah Jaafar, 69.

Bapa Allahyarham Khairul Ikhwan, Datuk Mazupi Abdul Rahman, 64, berkata, mereka sekeluarga sepatutnya menanti kepulangan anaknya itu malam tadi selepas menghadiri hari keluarga di Melaka.

Namun, katanya, perasaan tidak sedap hati mula timbul apabila panggilan telefonnya dan adik beradik lain tidak berangkat, sehinggalah melihat berita kemalangan membabitkan sebuah Toyota Estima.

“Kami kemudiannya menghubungi pihak polis sebelum polis mengesahkan anak saya dan keluarganya terbabit kemalangan.

“Kali terakhir saya berhubung dengan anak adalah menerusi panggilan telefon pada Jumaat malam di mana, arwah mahu meminjam kereta itu untuk hari keluarga di Melaka.

“Mereka sepatutnya pulang malam tadi, rupa-rupanya ia menjadi perjalanan terakhir mereka,” katanya sebak ketika ditemui pemberita.

Menurut Mazupi, Allahyarham Khairul Ikhwan bersama isteri, anak bongsu serta bapa dan ibu mentuanya akan disembahyangkan di Surau Al Ikhlas Bandar Baru Bangi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, dijangka selepas Asar nanti.

Menurutnya, dua lagi anak Allahyarham kini masih dirawat di Hospital Melaka, di mana anak sulungnya yang mengalami kecederaan parah masih ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), manakala anak keduanya pula berada dalam keadaan stabil dan kini ditempatkan di wad biasa.

Sebelum ini, media melaporkan tujuh maut dalam kemalangan membabitkan dua lori, sebuah bas persiaran dan dua buah kereta di Kilometer 204, dalam kejadian kira-kira jam 8.45 tadi.

Nahas itu dipercayai berpunca selepas bas persiaran yang membawa 27 penumpang menghala ke arah selatan telah terlanggar tayar sebuah lori yang tercabut dan berada di lorong tengah jalan.

Akibat pelanggaran itu, bas berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan telah melanggar sebuah kereta jenis Perodua Bezza, sebelum bertembung dengan sebuah lagi lori jenis Nissan dan MPV yang dinaiki pemandu serta penumpang yang sedang menghala ke utara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1537
Kongsi :
Previous post KERAJAAN MELAKA BERDUKA CITA NAHAS DI KILOMETER 204
Next post KONDA KONDI PRODUK PELANCONGAN BAHARU MELAKA 2025
Ubah saiz-+=