Tak sangka nasihat jadi viral

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 1 Julai – Nenek Sapiah yang suaranya menjadi perhatian kerana pertuturan pekat loghat Melaka tidak menyangka rakaman suaranya itu menjadi viral dan ajukan orang ramai.

Malah, pemilik nama sebenar, Kamsiah Jantan, 70 itu turut tidak menjangkakan rakaman itu menjadi ikutan dalam kalangan beberapa selebriti media sosial dengan mengajuk semula suaranya sambil melakonkan aksi.

Dia berkata, niatnya hanya untuk mengingatkan cucunya, Mohammad Syafiq Mohd Don, 28 atau lebih dikenali sebagai Dak Syafiq supaya tidak membeli sate di kawasan kampung berkenaan berikutan satu kes direkodkan di kawasan terbabit dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) beberapa bulan lalu.

“Nenek memang tak suka, tiba-tiba dah jadi macam ni (suara menjadi viral), alamak nenek kata, nenek marah lah kan tapi apa nak kata.

“Seorang cucu nenek tukang rakam (yang merakam) dalam handset (telefon bimbit), nenek pun cakap ler tiba-tiba (rakaman suara) melarat, nenek pun faham, Allahu Akbar,” katanya dalam nada loghat Melaka bersahaja itu.

Kamsiah berkata, dia bagaimanapun tidak mengambil hati dengan ajukan orang ramai malah menyifatkan ia satu hiburan supaya lebih mengenali dialek Melaka.

“Ada juga yang ajuk sampai buat lagu dondang saya. Macam-macam dia orang buat, Nenek dengau je la (dengar sahaja), nak buat macam mana,” katanya.

Terdahulu, Kamsiah bersama Mohammad Syafiq serta jirannya, Hasnah Mohamad, 67 serta anak Hasnah, Mohammad Shaari Mohd Salleh, 35 menerima sumbangan daripada kerajaan negeri yang disampaikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Haji Sulaiman Md Ali.

Keempat-empat watak dalam rakaman itu iaitu Kamsiah (Nenek Sapiah), Mohammad Shafiq (Dak Sapik), Hasnah (Dak Senah) dan Mohammad Shaari (Dak Ayu) turut menjadi perhatian apabila disebut dalam ucapan Sulaiman pada Majlis Amanat Ketua Menteri, hari ini.

Sementara itu, Mohammad Shaari atau dikenali sebagai Dak Ayu dalam kalangan keluarga berkata, panggilan Dak Ayu hanya dikenali dalam kalangan ahli keluarga terdekat sahaja.

“Saya dengar juga ramai yang dengar rakaman suara itu mengatakan Dak Ayu adalah perempuan, namun orang kampung tahu saya yang dimaksudkan Nenek Sapiah,” katanya

Views:

601
Kongsi :
Previous post Ops Sampah Longgok: MBMB kutip lebih tiga tan sampah di Flat Sri Siantan
Next post PPSPM rekodkan 13,207 pengunjung naiki MRC
Ubah saiz-+=