Tak sampai hati jual lembu mahal

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

TABOH NANING 8 Julai- “Kalau ikutkan harga pasaran sekarang jauh lebih tinggi, tetapi saya tidak sampai hati hendak buat begitu. Kasihan dekat orang yang berhajat nak lakukan ibadah korban tetapi terpaksa lupakan kerana harga yang tinggi,” itu kata penternak lembu di Kampung Kemuning, Ramli Burok.

Menurut Ramli, 61, kenaikan harga itu disebabkan oleh harga makanan yang naik mendadak dan penternak tiada pilihan lain bagi menampung kos.

Katanya, namun begitu bagi memberi peluang mereka yang berhajat untuk melakukan ibadah korban terlaksana, dia mengambil pendekatan menetapkan harga lembu dalam skala ‘harga mampu’ antara RM4,900 hingga RM5,000 seekor.

“Apa yang jadi masalah adalah penetapan harga, kalau ikut sekarang ini sudah cecah RM5,000 keatas untuk seekor lembu.

“Tetapi itulah, saya kasihan hendak letak harga tinggi kerana takut ada yang tidak mampu. Jadi selagi mampu saya cuba bantu,” katanya ketika ditemui kandang lembunya, hari ini.

RAMLI

Kata bekas pesara tentera itu, pada Hari Raya Aidiladha kali ini dia mengambil tempahan untuk 15 ekor.

“Tempahan diterima sejak Jun lalu untuk sekitar daerah Alor Gajah dan kesemua lembu-lembu ini akan dihantar esok.

“Ada seekor lembu itu saya terpaksa jual dengan harga RM5,500 kerana saiz yang besar yang lain harga sama sahaja,” katanya.

Dia yang mengusahakan ternakan lembu bersama anaknya berkata, sepanjang 30 tahun terbabit dengan haiwan ternakan itu, mereka tidak terlepas berdepan situasi cemas apabila lembu yang dihantar kepada pelanggan untuk ibadah korban tiba-tiba hilang.

“Kejadian ini berlaku beberapa tahun lalu di Kampung Ganun, apabila lembu yang dihantar pada petang raya hilang tidak lama selepas diserahkan kepada pembeli.

“Terpaksalah saya ganti lembu lain tetapi mujurlah kira-kira seminggu kemudian ia ditemukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3409
Kongsi :
Previous post SMK Hang Kasturi bakal terima pengiktirafan Microsoft
Next post Wang, pasport jemaah haji terkandas di KLIA dikembalikan – MOTAC
Ubah saiz-+=