Tak sabar beraksi di litar RC antarabangsa Tanjung Bidara
LENDU 20 Mei – “Sebagai anak kelahiran Johor saya tumpang bangga dengan Melaka, macam tidak percaya negeri ini bakal memiliki sebuah litar sukan kereta kawalan jauh (RC) bertaraf antarabangsa tidak lama lagi.
“Saya yakin jika Melaka mampu menyediakan fasiliti bertaraf antarabangsa pasti lebih ramai peminat sukan ini akan bertandang ke Masjid Tanah,” kata Mohd Nizam Tukimat, 37.
Mohd Nizam, antara 80 perserta yang mengambil bahagian pada Kejohanan Kereta Kawalan Jauh Piala Ketua Menteri Melaka Ke-13 di Kompleks Sukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Masjid Tanah, di sini, semalam.
Sebagai penggiat aktiviti RC dia berterima kasih atas usaha Kerajaan Negeri yang secara tidak langsung mengangkat memartabat sukan itu ke peringkat yang lebih tinggi.
“Apabila sudah ada sebuah litar RC yang memenuhi piawaian antarabangsa kelak ia mampu memberi pengalaman sebenar kepada peserta untuk melakukan latihan sebelum menyertai pertandingan peringkat antarabangsa.
“Perancangan ini amat bagus, tidak banyak negeri lain di Malaysia yang melaksanakan perancangan seperti ini. Sudah pasti selepas ini suasana di Tanjung Bidara akan lebih meriah,” katanya.
Terdahulu, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengumumkan sebuah litar sukan kereta RC bakal dibina menjelang November depan di tapak seluas 1.011 di Pantai Peranginan Tanjung Bidara dengan kos sebanyak RM300,000.
Sementara itu, peminat sukan RC yang juga anak jati Tanjung Bidara, Muhamad Faidil Adzha, 42, berkata, inisiatif itu adalah perkara yang dinanti-nantikan ramai.
Muhamad Faidil berkata, bukan sahaja menjadi tumpuan peminat sukan RC kemudahan bakal diwujudkan itu juga bakal membuka lebih banyak peluang perniagaan khusus buat peniaga kecil.
“Apabila beliau (Ketua Menteri) umumkan perasaan kami memang teruja dan tidak sabar untuk melihat ia dibina di tanah kelahiran kami .
“Malah, apabila litar ini dibina mengikut piawaian antarabangsa ia merupakan peluang besar buat kami untuk berlatih dalam banyak kategori sukan ini yang memenuhi standard negara luar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.