Tak puas hati hasil samun, tiga lelaki dipercayai bunuh rakan sejenayah

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

AYER KEROH 14 Jan. – Tidak puas hati dengan ‘hasil’ jenayah samun yang dilakukan bersama dipercayai menjadi punca tiga lelaki membunuh rakan sejenayah mereka sebelum
meninggalkan mayat di dalam kereta milik isteri mangsa.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, dalam kejadian 7 Januari lalu, mayat lelaki berusia 38 tahun itu ditemukan orang awam dalam keadaan tertiarap dan ditutup dengan kain putih di tempat duduk belakang kereta jenis Proton Perdana berkenaan di Rumah Pangsa Batu Berendam di sini.

 

Menurut beliau, ketika ditemukan, mayat dipercayai sudah meninggal dunia lebih 48 jam berdasarkan kesan hentakan benda keras di kepala, selain terdapat luka tikaman di perut dan leher.

“Hasil siasatan pasukan khas berjaya menahan seorang lelaki berumur 39 tahun yang menetap di pangsapuri berkenaan pada hari yang sama dan menemui kesan darah dalam rumah suspek.

“Suspek pertama itu kemudian mendedahkan butiran dua lagi rakan subahat dalam pembunuhan itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang, di sini, hari ini.

ABDUL Majid menunjukkan gambar berkaitan dengan kes pembunuhan tersebut dalam sidang media di IPK Melaka.

Abdul Majid berkata, siasatan awal mendapati motif pembunuhan adalah disebabkan pergaduhan rakan sejenayah, yang dipercayai tidak berpuas hati dengan hasil samun bersenjata oleh keempat-empat suspek di sebuah kedai serbaneka di Kota Laksamana pada 4 Januari lalu.

“Dipercayai berlaku ketidakpuasan hati di antara mereka mengenai hasil samun sehingga membawa kepada pergaduhan dan pembunuhan sebelum mayat mangsa diletakkan di dalam kereta.

“Susulan tangkapan suspek pertama itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPK Melaka berjaya memberkas dua lagi suspek masing-masing berusia 34 dan 32 tahun tahun di Ipoh, Perak pada 11 Januari lalu yang mana dua dari tiga mereka mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah,” katanya.

Menurutnya, semakan juga mendapati mangsa bersama ketiga-tiga suspek dipercayai telah bergerak aktif melakukan samun menggunakan parang panjang sejak dua bulan lalu dengan menyasarkan kedai-kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam.

Ketiga-tiga suspek kini sedang direman sehingga 18 Januari depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Views:

1069
Kongsi :
Previous post Polis Melaka buat 25 sekatan jalan raya sepanjang PKP 2.0
Next post ‘Cayalah’ orang Melaka
Ubah saiz-+=