Tak perlu permit solat di Masjidil Haram, Masjid Nabawi – MoHu
KUALA LUMPUR, 6 Mac – Berikutan pemansuhan semua sekatan COVID-19 oleh Kerajaan Arab Saudi, Kementerian Haji dan Umrah (MoHU) negara itu turut mengumumkan kelonggaran untuk tidak lagi mewajibkan permit bagi ziarah dan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi bermula Sabtu, 5 Mac.
Bagaimanapun, menurutnya tiada perubahan untuk permit Umrah dan ziarah Raudhah.
“Ia masih diwajibkan seperti syarat tertera dalam aplikasi Tawakkalna dan Eatmarna,” katanya.
Kementerian menerusi kenyataan yang dimuat naik pada laman Twitter rasminya juga menamatkan arahan penjarakan sosial dan fizikal di Dua Masjid Suci umat Islam, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Pemakaian pelitup muka masih diwajibkan di kawasan tertutup di kedua-dua Masjid Suci berkenaan.
Menurut kementerian lagi, kanak-kanak bawah 5 tahun turut dibenar memasuki perkarangan Dua Masjid Suci.
“Kanak-kanak 5 tahun ke atas dan sudah divaksin boleh memasuki Haramain manakala di bawah 5 tahun, hanya boleh masuk ke halamannya,” kata kementerian itu menjawab soalan netizen di ruangan komen.
Kerajaan Arab Saudi pada Sabtu mengumukan pemansuhan kesemua sekatan COVID-19, termasuk kuarantin wajib bagi semua ketibaan ke negara itu.
Kementerian Dalam Negeri (MoI) Saudi menerusi perkongsian infografik di Twitter menyatakan keputusan baharu itu berkuatkuasa mulai Sabtu, 5 Mac 2022.
Keputusan itu antara lain membatalkan arahan penjarakan sosial dan fizikal di semua lokasi, aktiviti serta acara tertutup dan terbuka.
Namun, pemakaian pelitup muka di tempat tertutup masih dilaksana.
Selain itu, pengembara dari luar Saudi juga tidak lagi perlu menyediakan keputusan negatif ujian PCR atau RTK semasa ketibaan mereka.
“Bagaimanapun, semua ketibaan bagi semua jenis visa lawatan, wajib mendapatkan insurans yang meliputi kos rawatan daripada jangkitan COVID-19,” menurutnya.
Kementerian juga mengumumkan menarik balik penggantungan penerbangan terus dan ketibaan dari Afghanistan dan benua Afrika termasuk Afrika Selatan, Namibia, Botswana, Zimbabwe, Lesotho, Eswatini, Mozambique, Malawi, Mauritius, Zambia, Madagascar, Angola, Seychelles, United Republic of Comoros, Nigeria dan Ethiopia.
Kementerian tu menjelaskan bahawa langkah-langkah yang diambil adalah tertakluk kepada penilaian berterusan oleh pihak berkuasa kesihatan Saudi, mengikut perkembangan situasi epidemiologi.
Setakat Sabtu, Arab Saudi mencatatkan 283 kes baharu COVID-19 dengan hanya satu kes kematian di negara yang merekodkan jumlah kumulatif kes jangkitan 747,119 itu. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.