Sorting by

×

‘TAK PERLU LAGI TADAH BESEN’

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

KUALA LINGGI 18 Januari – Kepayahan yang dilalui sebuah keluarga nelayan di Kampung Telok Gong yang terpaksa menadah besen dan periuk setiap kali hujan, berakhir apabila rumah mereka kini selesai dibaik pulih menerusi program Melaka Rumahku.

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat itu telah dilaksanakan Lembaga Perumahan Melaka (LPM) menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) edisi pertama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi dengan misi memberi kehidupan yang lebih selesa kepada rakyat.

Penerima bantuan baik pulih rumah, Fazilah Khairuddin, 52 mengakui terharu apabila nasib mereka lapan sekeluarga yang mendiami rumah dalam keadaan serba kekurangan dengan atap yang bocor mendapat perhatian Kerajaan Negeri.

Katanya, bantuan itu membuktikan bahawa Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh amat prihatin dan cakna terhadap permasalahan rakyat di seluruh negeri.

“Sudah lama kami bertahan dengan keadaan rumah yang serba tidak sempurna di mana banyak bumbung yang bocor dan sebenarnya. Kalau diikutkan, saya tidak suka meminta-minta.

“Tapi apabila keadaan menjadi semakin buruk, saya berjumpa dengan Penghulu dan selepas itu mereka datang melihat kerosakan dan tidak lama selepas itu Pejabat Daerah dan Tanah memanggil kami untuk menandatangani surat memaklumkan bantuan itu telah diterima.

“Bila dapat bantuan besar seperti ini, kita sebagai rakyat rasa seperti tidak ‘direndah-rendahkan’ dan nampak pemimpin begitu prihatin kepada nasib rakyat seperti kami,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Sesi Penyerahan Baik Pulih Rumah Menerusi Program Melaka Rumahku di Kampung Telok Gong, di sini, hari ini.

Simbolik penyerahan projek baik pulih rumah itu telah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah dan lain-lain kenamaan.

Projek baik pulih rumah berkenaan menelan kos RM18,000 merangkumi kerja-kerja menukar bumbung dan rabung utama, pembaikan siling di bilik tidur dan bahagian belakang rumah, penggantian jenang pintu dan pembaikan pintu, memasang semula cermin tingkap dan mengecat dinding rumah.

Dalam pada itu, Fazilah dan keluarga merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri, wakil rakyat kawasan dan semua pihak yang membantu mereka untuk mendiami kediaman yang lebih selesa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

211
Kongsi :
Previous post ALAMAT DIGITAL ‘MASA DEPAN’ UNTUK ORANG KAMPUNG
Next post KERAJAAN MELAKA SEDIA BANTU ‘HIDUPKAN’ NUSA DUSUN KUALA LINGGI
Ubah saiz-+=