Sorting by

×

‘Tak perlu lagi menumpang teduh’

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

LENDU 25 April – “Alhamdulillah, selepas hampir dua tahun menumpang teduh di rumah mentua akhirnya saya mampu memiliki rumah di halaman sendiri.

“Saya sangat bersyukur kerana rumah sendiri ini mampu menjadi saksi kepada saya meneruskan kehidupan yang baharu bersama keluarga,” kata Muhammad Amirul Azhar, 28.

Muhammad Amirul yang juga seorang penghantar makanan gembira apabila permohonan mendapatkan Rumah Mesra Rakyat (RMR) di kampung kelahirannya, di Kampung Durian Daun, di sini, diluluskan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Dia yang juga bapa kepada seorang cahaya mata berkata, teratak baharu itu dimohon selepas mendapat saranan daripada ibunya, Rugayah Long, 57 untuk membina rumah di halaman sendiri.

Katanya, dia membuat permohonan kepada SPNB pada Ogos tahun lalu dan diluluskan sebelum projek pembinaannya bermula seminggu sebelum Ramadan tahun ini.

“Akhirnya saya ada sebuah rumah di halaman sendiri dan sekurang-kurangnya dapatlah saya menjaga ibu saya dan mentua di kampung.

“Sebelum ini kami ada menetap di Kuala Lumpur dan sejak dua tahun lalu saya menumpang di rumah mentua di Pulau Sebang untuk menjaganya selepas pemergian bapa mentua saya.

“Apabila telah pulang ke kampung, ibu ada menyarankan saya dan Alhamdulillah berkat daripada restu ibu saya dipermudahkan urusan dan menerima sebuah rumah yang menjadi rezeki besar buat saya,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Amirul merupakan antara enam pemohon telah menerima penyerahan kunci RMR disampaikan Pengerusi SPNB, Datuk Husam Musa di kediamannya, semalam.

Selain itu, seramai lima kontraktor turut menerima penyerahan dokumen inden disampaikan Husam bagi menjalankan pembinaan RMR dalam Parlimen Masjid Tanah.

Dalam pada itu, Amirul turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk SPNB yang memudahkan urusan keluarganya untuk memiliki rumah pertama.

“Terima kasih saya ucapkan kepada SPNB kerana memberi peluang kepada kami untuk memiliki rumah pertama menerusi RMR.

“Niat nak beli rumah di tempat lain memang ada tetapi terpaksa dibatalkan kerana harganya amat tinggi dan perlu membayar bulanan lebih kurang RM1,000 selama lebih kurang 30 tahun.

“Alhamdulillah dengan inisiatif ditawarkan kerajaan ini saya mampu membeli sebuah rumah dengan kos yang amat murah dan hanya perlu membayar RM300 dalam tempoh 16 tahun sahaja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

291
Kongsi :
Previous post Lebih 30 manuskrip, penulisan hikayat Hang Tuah akan dipamerkan kepada umum
Next post Perubahan laluan Banda Hilir telah dikemas kini pada ‘Google Maps’
Ubah saiz-+=